WASHINGTON – China diramalkan mampu memberi kejutan kepada Amerika Syarikat (AS) dan dunia apabila dijangka menawan Taiwan pada tahun ini juga, lapor portal berita MailOnline kelmarin.
Amaran itu dikeluarkan oleh Ketua Operasi Tentera Laut AS, Laksamana Michael Gilday pada minggu ini.
Tentera Laut AS kini menerima pakai mentaliti berperang pada bila-bila masa ketika Beijing mengadakan latihan ketenteraan baharu melalui udara dan laut di luar pantai Taiwan.
Perkhidmatan itu kini berusaha untuk lebih bersedia dengan risiko pengeluaran notis mengenai konflik yang boleh membawa maut.
“Bukan hanya apa yang Presiden China Xi Jinping tegaskan sejak akhir-akhir ini tetapi bagaimana Beijing berkelakuan dan apa yang mereka sedang lakukan.
“Apa yang kami lihat sejak 20 tahun lalu adalah mereka sentiasa menunaikan setiap janji yang dibuat setelah mengumumkannya pada dunia secara terbuka,” kata Gilday.
Menurut Gilday, Tentera Laut AS tidak boleh meluluskan perbelanjaan walau satu sen pada hal yang tidak perlu untuk menangani ancaman dari China.
Oleh itu, pihaknya berusaha menamatkan khidmat 24 kapal lama untuk membiayai keutamaan lain.
“Ini adalah kesediaan melebihi kapasiti, kapal-kapal yang kami letakkan di luar sana perlu bersedia untuk berperang.
“Kebanyakan kapal perang tentera laut adalah tiga tahun ketinggalan dari segi penyelenggaraan termasuk kos tambahan AS$80 juta (RM379 juta) atau lebih, selain sistem senjata yang tidak sempat dinaik taraf tepat pada masanya untuk menghadapi ancaman China,” katanya.
Selain itu, Tentera Laut AS turut menjalankan rondaan kerap di Laut China Selatan dan Selatan Taiwan antara China dan Taiwan.
Setiausaha Negara AS, Antony Blinken menyokong ramalan sedemikian awal minggu ini apabila berkata bahawa China telah mempercepatkan garis masa untuk mengambil alih Taiwan. – Agensi