PETALING JAYA – Pelakon Beto Kusyairy mengakui terharu disenaraikan dalam kategori Pelakon Lelaki Terbaik di Anugerah Asian Academy Creative (AACA) yang dijadualkan berlangsung di Singapura, Disember depan.
Katanya, dia tidak tahu namanya dihantar untuk pencalonan, apatah lagi lolos sebagai finalis sebaris dengan aktor hebat Asia Pasifik seperti Masaki Suda dari Jepun dan Jun Hae-In (Korea Selatan).
“Sudah tentu saya bersyukur. Pada masa sama bangga dan terkejut kerana sejujurnya saya tidak tahu pun dicalonkan. Saya cuma tahu nama dicalonkan daripada rakan produksi.
“Apatah lagi ini bukan sebarangan anugerah sebaliknya sebuah majlis berprestij di peringkat Asia Pasifik yang menghimpunkan pengkarya dari pelbagai platform media.
“Sukar untuk mengungkapkan kata-kata, namun paling pasti saya berasa amat teruja melihat nama dicalonkan sebaris pelakon hebat negara lain.
“Sebenarnya saya juga terkejut kerana terpilih dan menang di peringkat kebangsaan, seterusnya mewakili negara ke peringkat akhir,” katanya.
Beto dicalonkan menerusi drama bersiri 28 episod, Scammer 2 yang disiarkan menerusi Astro Ria pada April lalu.
Drama tersebut berkisar kisah Taqriz lakonan Beto yang menuntut bela atas kematian ayahnya disebabkan menjadi mangsa fitnah dalam urusan penjualan tanah di kampung mereka.
Pada masa sama, aktor versatil itu dalam nada rendah diri mengakui, dia tidak menganggap dirinya lebih bagus berbanding pelakon lain.
Bagi penerima trofi Pelakon Lelaki Terbaik Anugerah Skrin 2015 itu, bukan pengiktirafan dikejar sepanjang dua dekad dalam industri, namun menganggap sebagai bonus jika menerima anugerah.
“Perkara utama yang selalu saya fikirkan setiap kali diberikan tanggungjawab membawakan sesuatu watak adalah bagaimana untuk membawakan peranan itu dengan lebih berkesan.
“Dalam bekerja saya lebih memikirkan impak lakonan kepada khalayak selain penerimaan penonton berbanding mengejar anugerah.
“Bagi saya, dicalonkan pun sudah besar maknanya selain membuatkan saya berasa cukup dihargai,” katanya lagi.
Terdahulu, Beto berkongsi kegembiraan dengan memuatnaik paparan senarai finalis kategori Pelakon Lelaki Terbaik dalam Instagram.
Wakil negara lain yang bertanding antaranya termasuk Kenneth Ma dari Hong Kong, Refal Hady (Indonesia) serta Yoson An (Australia).
Selain Beto, watak Kirana dalam drama Dendam Seorang Isteri turut membawa tuah kepada Nad Zainal yang mewakili Malaysia bagi kategori Pelakon Wanita Terbaik.
Ganjil terbitan Razor’s Edge Pictures arahan Datuk Yusry Abdul Halim pula merebut trofi Drama Bersiri Terbaik pada Malam Gala AACA 2022.
AACA dianjurkan bagi meraikan kandungan dan karya kreatif terbaik yang diterbitkan 16 negara di rantau Asia Pasifik.
Penganjuran acara yang bermula pada 2018 itu diadakan pada Disember setiap tahun yang juga sebahagian daripada Festival Media Singapura.
Sebelum ini, filem tempatan Garden Of The Evening Mists pernah diangkat sebagai Filem Terbaik pada 2020, manakala pelakon Miller Khan dinobatkan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik bagi drama The Bridge pada 2020.
Aktres Yeo Yan Yan pula menerima trofi Pelakon Wanita Terbaik bagi drama bersiri Invisible Stories di bawah HBO juga pada tahun sama. – KOSMO! ONLINE