PETALING JAYA – Aliran trafik di lebuh raya utama masih perlahan susulan orang ramai pulang ke kampung atau bercuti ke tempat tumpuan berikutan cuti hujung minggu dan cuti Deepavali.
Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menerusi Twitter memaklumkan, keadaan trafik di Lebuh Raya Utara – Selatan di beberapa tempat perlahan ketika ini.
“Ia melibatkan Plaza Tol Sungai Besi ke pusat bandar, Putra Mahkota ke Nilai, kawasan rehat dan rawat (R&R) Seremban ke R&R Senawang, Ayer Keroh ke Jasin, Layby Simpang Ringgam ke Sedenak, Senai ke Layby Kulai serta Kempas dan Pasir Gudang ke Dato’ Onn.
“Keadaan sama turut dilihat melibatkan Slim River ke Sungaki, Sungai ke Bidor, Gua Tempurung ke Gopeng (kawasan mendaki), Terowong Menora ke Jelapang, Bandar Baharu ke Layby Sungai Bakap dan Seberang Jaya ke Sungai Dua,” katanya pada ciapan Twitter hari ini.
Dalam masa sama, trafik juga dilaporkan perlahan di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KLK) iaitu sebelum Plaza Tol Gombak menghala ke timur, Gombak ke Terowong Genting Sempah serta Bukit Tinggi ke Lentang.
Sebelum ini Kosmo! melaporkan, pertambahan trafik sehingga 1.9 juta kenderaan dijangka berlaku di semua rangkaian lebuh raya kendalian PLUS Malaysia Berhad (PLUS) sempena cuti umum Hari Deepavali.
Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi dipetik berkata, jumlah tersebut menunjukkan peningkatan berbanding 1.7 juta kenderaan sehari pada hari biasa. – KOSMO! ONLINE