PETALING JAYA – Setelah tertunda akibat pandemik selama dua tahun, acara muzik terkenal, Kuching Jazz kini kembali menghangatkan peminat di Borneo hujung bulan ini dengan penampilan istimewa Afgan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Hemisphere Corporation Sdn. Bhd., Mark Ferguson, acara berkenaan menjanjikan pengalaman berbeza ditambah dengan kehadiran artis dari pelbagai negara.
“Pengunjung akan merasakan pengalaman istimewa dalam festival kali ini termasuk persembahan Afgan yang tentunya mendatangkan kelainan tahun ini,” ujar Mark.
Sementara itu, barisan penyanyi jazz Malaysia seperti Noryn Aziz, Leon Sapphire, Ta’Dan, Ky Den dan Ushera akan bersama-sama memeriahkan lagi pentas Kuching Jazz.
Wakil dari Thailand, Phum Viphurit juga akan membuat persembahan kerana program tersebut tidak akan lengkap tanpa kehadiran mereka sangat dinantikan ramai penggemar muzik.
Sehubungan dengan itu, Freyja Garbett dari Australia dan penampilan Dawn Wong dan The Ark Royal dari Singapura yang dijangka akan membawa peminat dari negara masing-masing untuk berhibur bersama dalam pesta muzik jazz terbesar tersebut.
“Kami percaya peminat festival serta genre muzik diketengahkan penghibur yang diterbangkan dari beberapa negara lain seperti Australia, Indonesia, Singapura dan Thailand akan menjadi magnet kepada peminat.
“Kami amat berharap festival muzik ini mendapat sambutan hangat selepas dua tahun ditangguhkan akibat terkesan wabak Covid-19 dan berbangga dapat mengembalikan pengajuran Kuching Jazz,” jelasnya lagi.
Penganjur turut mengingatkan bahawa penganjuran Kuching Jazz yang akan berlangsung pada 28 dan 29 Oktober ini juga berbeza dengan Borneo Jazz Festival.
Dalam pada itu, sebagai festival mesra pengunjung, Kuching Jazz dimeriahkan dengan jualan gastranomi dan kraf tangan di bazar untuk memeriahkan suasana sambil mengamati alunan muzik jazz.
Selaku penganjur, Hemisphere Corporation Sdn. Bhd. meyakinkan peminat bahawa pemuzik-pemuzik yang akan beraksi kelak adalah hadiah istimewa bahkan menjanjikan percutian hujung minggu yang ideal di Sarawak.
Terdahulu, festival tersebut pernah menyaksikan kehadiran bintang-bintang jazz dan penghibur terkenal seperti Datuk Sheila Majid, Tompi, Kunto Aji, Baihana, dan Carmen Souza Trio.
Bukan sahaja itu, Siti Navarro, Harvey Malaihollo, Dayang Nurfaizah dan Ning Baizura antara artis yang turut bersama memeriahkan pesta anjuran Hemisphere Corporation. – KOSMO! ONLINE