Semua pihak wajar menerima telah tiba masa untuk rakyat membuat penentuan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Itu sahaja cara untuk mengeluarkan negara daripada belenggu ketidakstabilan politik.
Mengakhiri ketidakstabilan politik bukan bermaksud telah berakhirnya kancah politik, tetapi ia refleksi kepada sebuah keabsahan.
Keabsahan yang diharap membentuk sebuah kerajaan tidak mudah diganggu-gugat dan lancar urusan pentadbirannya.
Tiada siapa boleh menafikan sudah lebih empat tahun Malaysia berdepan ketidakstabilan politik yang amat ‘memenatkan’.
Perbalahannya menular sehingga ke peringkat marhaen lantas mengganggu keharmonian kehidupan bermasyarakat.
Ketidaktentuan dan ketidakpastian politik saban hari mengundang implikasi terhadap prospek cemerlang ekonomi.
Para pelabur kekal berada pada mood berhati-hati tunggu dan lihat sebelum bersedia membuat keputusan besar.
Kekalutan politik seharusnya telah pun terhenti dengan kewujudan perjanjian persefahaman kerajaan dan pembangkang.
Bagaimanapun, tiada titik noktah sejak September 2021 menyebabkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob terpaksa memohon pembubaran Parlimen.
Yang di-Pertuan Agong turut kecewa dengan keadaan itu, memperkenan pembubaran Parlimen pada 10 Oktober lalu.
Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah PRU15 bagi memulangkan mandat kepada rakyat memilih sebuah kerajaan stabil.
Penganalisis politik, Prof. Madya Dr. Awang Azman Awang Pawi berkata, semua pihak perlu menerima hakikat pilihan raya tetap akan diadakan walau masih ada yang membantah.
Ujarnya, Perdana Menteri telah memohon dan Seri Paduka telah memberi perkenan.
Menurut beliau, kini adalah masa untuk semua pihak akur dan melunaskan proses demokrasi.
“Suruhanjaya Pilihan Raya hanya menjalankan fungsi dan peranannya termasuk menetapkan tarikh pengundian.
“Tidak seharusnya ada pihak terus tidak puas hati kerana bukan kali pertama PRU diadakan bulan November,” katanya.
Awang Azman berkata, PRU15 semua rakyat yang layak seharusnya keluar mengundi.
Seorang pengundi PRU15 hanya mahu dikenali sebagai Izan, 43, berkata, walau apa pun keadaannya nanti dia akan keluar mengundi.
Katanya, sudah terlalu lama Malaysia berdepan suasana politik cacamarba.
Menurutnya, cuaca buruk sekiranya berlaku bukan penghalang keluar mengundi kerana mengundi tidak mengambil masa terlalu lama.
“Kecuali banjir kilat berlaku pada hari pengundian mungkin agak sukar, tetapi saya percaya perkara itu ada penyelesaiannya.
“Mereka yang menguruskan proses pengundian tentu ada cara untuk memastikan kita tetap dapat mengundi. Mereka tak zalim,” katanya.
Kesimpulannya, PRU15 amat mustahak dalam ikhtiar negara memastikan ketidakstabilan politik ditamatkan.
Benar tiada jaminan kestabilan dapat dikembalikan sepenuhnya sekiranya tiada siapa memperoleh majoriti.
Sekurang-kurangnya sedikit sebanyak dapat meredakan keadaan kerana persoalan yang telah lama berlegar akhirnya terjawab.
Sejak PRU14 ada dalam kalangan sanak saudara berantakan, manakala sahabat karib bermusuhan angkara berbeza ideologi politik.
Suasana hari perayaan di kampung halaman sudah tidak semeriah dahulu kerana diselubungi perasaan canggung.
Selepas ‘bertempur’ hebat dalam grup WhatsApp tentunya amat janggal untuk bermesraan di hari perayaan. Semoga situasi ini dapat dileraikan dan semua pihak boleh move on sesudah itu. Marilah mari kita mengundi.