KELAB Oman, Al-Seeb bakal mengharungi mimpi ngeri di Stadium Nasional Bukit Jalil dan aura venue itu pastinya ditagih Kuala Lumpur City FC (KL City) untuk menghadirkan kejuaraan kedua Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) buat Malaysia.
Daripada beberapa perlawanan antarabangsa sebelum ini, Stadium Nasional Bukit Jalil sudah terbukti mampu menghantui pasukan lawan termasuk gergasi bola sepak Asia dari Asia Barat tersebut.
Pemain tengah The City Boys, Akram Mahinan berkata, walaupun sedar kualiti yang ada pada Al-Seeb, peluang beraksi di negara sendiri tidak boleh dilepaskan terutamanya selepas mengharungi kempen penuh liku sepanjang musim ini.
“Kadang-kadang faktor nasib juga mainkan peranan tetapi kalau kami tidak bekerja keras, jangan sesekali harapkan nasib. Ketika ke Uzbekistan, kami lalui perjalanan jauh dan kami sentiasa sematkan, biarlah kami lalui detik sukar itu kerana final nanti kita akan bermain di negara sendiri.
“Apabila bermain di tempat sendiri mungkin ada kelebihan untuk kita, namun kami tidak boleh ambil mudah kerana Al-Seeb bukan pasukan biasa-biasa.
“Kelebihan kita mungkin dari segi cuaca dan faktor Bukit Jalil. Sebelum ini, kalau orang tidak biasa bermain di Bukit Jalil, mereka dilihat agak bergelut,” katanya.
Meskipun skuad kebangsaan tewas 2-1, Stadium Nasional Bukit Jalil pernah membuktikan lawan dari Asia Barat sentiasa berdepan kesukaran terutamanya aksi kelayakan Piala Dunia 2022 menentang Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan Bahrain bagi pusingan kelayakan Piala Asia 2023.
Ditanya mengenai bonus yang bakal diterima pasukan jika mampu menewaskan Al-Seeb, Akram menegaskan, tumpuan pasukan ketika ini adalah lebih menjurus kepada melakar sejarah.
“Ini mungkin final terbaik bagi ramai pemain dalam pasukan ini dan mungkin kali terakhir kami mampu bermain di peringkat ini. Kami mahu jadi yang terbaik, jadi soal bonus tolak tepi dan sekarang kita buat sejarah dulu,” katanya.