KLANG – Pakatan Harapan (PH) yakin mampu menawan Perak untuk menjadi negeri keempat dibawah pentadbiran mereka pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini dilakukan dengan kerjasama kuat dalam kalangan gabungan PH bagi memastikan sasaran itu tercapai.
“Insya-Allah, kita tawan Perak,” katanya ringkas ketika ditemui pemberita sewaktu lawatan di Little India di Jalan Tengku Kelana, di sini hari ini.
Ketika mengulas mengenai persediaan di kerusi Parlimen Tambun, Perak pada PRU15 nanti, Anwar menegaskan berada pada tahap siaga tinggi.
“Saya tidak mengikut peratusan, saya kerja kuat. Insya-Allah. Namun, saya kena jaga kawasan lain seperti esok di Pulau Pinang, Ahad di Sabah manakala Isnin ke Sarawak,” jelasnya.
Sementara itu, beliau menzahirkan penghargaan kepada bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam menamakannya antara pemimpin berupaya menerajui negara selain Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Saya ucap terima kasih kenyataan Musa itu membantu. Dia (Musa) kata layak dan ada pendedahan `international’,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE