SUNGAI SIPUT – Pakatan Harapan (PH) tidak seharusnya menjadikan manifesto sebagai bahan lelongan politik, kata Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran.
Menurut beliau, banyak janji PH yang gagal ditunaikan meskipun diberi mandat mentadbir kerajaan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
“Jangan jadikan manifesto sebagai bahan lelongan, siapa bagi harga paling tinggi, janji paling tinggi umpama barang lelong.
“Bagi mereka manifesto ini macam barang lelong, lelong tinggi-tinggi sampai tidak boleh nak ambil (penuhi). Lepas menang (pilihan raya), (mereka beritahu) tidak harap akan menang, mana boleh cakap macam itu,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan kesihatan dan pendidikan kepada penduduk di Pusat Khidmat Parlimen Sungai Siput di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kesediaan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim Anwar untuk membuat pemotongan gaji dan elaun sekiranya menjadi Perdana Menteri pada PRU15.
Vigneswaran berkata, Anwar perlu melihat kembali beberapa janji dalam manifesto PH yang gagal ditunaikan ketika mentadbir kerajaan Persekutuan sebelum menawarkan janji baharu kepada rakyat.
Malah katanya, Anwar tidak sepatutnya melupakan janji-janji lama PH termasuk menurunkan harga minyak dan memansuhkan bayaran balik Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
“Sekarang, dia janji itu pula, itu (potongan gaji dan elaun) mungkin bolehlah sebab itu yang paling senang, kalau anak saya jadi Perdana Menteri, pun akan potong juga.
“Cuma ingatlah pada janji-janji dulu, minyak, PTPTN dan pelbagai janji lain sampai tidak boleh buat apa,” katanya.
Sementara itu mengulas keputusan Anwar bertanding di kerusi Parlimen Tambun, beliau berkata, ia tidak akan memberi kesan kepada Barisan Nasional (BN) di Perak. – KOSMO! ONLINE