fbpx

Pecco cadang minta nasihat ‘guru’ sendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PECCO berpeluang untuk muncul juara sekiranya menawan perlumbaan di Litar Sepang Ahad ini atau sekurang-kurangnya mampu mengukuhkan kedudukan pendahulu. - AFP

PUCHONG – Pelumba Itali, Francesco ‘Pecco’ Bagnaia tidak menolak sebarang kemungkinan bahawa dia mungkin akan meng­hubungi ‘gurunya’ Valentino Rossi untuk meminta pandangan menjelang Grand Prix (GP) Malaysia yang bakal menjadi penentu gelaran dunia MotoGP 2022.

Pelumba Ducati tersebut merampas kedudukan teratas daripada Fabio Quartararo di Australia, minggu lalu selepas pelumba Perancis itu gagal menamatkan perlumbaan sekali gus mendahului kejuaraan dengan 14 mata ketika berbaki dua perlumbaan.

Pelumba berusia 25 tahun tersebut mampu menjulang mahkota kemenangan sulung pada Ahad ini jika dia menang di Sepang, namun dengan syarat Quartararo sekadar menduduki tempat keempat atau lebih rendah.

Bagaimanapun, Pecco mengambil sikap berhati-hati memandangkan pencabar utamanya dari Yamaha itu benar-benar kompetitif pada sai­ngan musim ini.

“Ketika ini apa yang saya boleh katakan adalah saya dalam kea­daan baik dan pasukan juga be­kerja dengan cukup cemerlang. Kami bangga dengan apa yang dicapai pada ketika ini.

“Tetapi, menjelang perebutan gelaran, saya akui bukan mudah kerana Quartararo kompetitif. Jadi, perkara paling penting adalah memahami situasi dan membuat keputusan bijak. Ketika ini saya tiada tekanan.

“Apapun, saya akan hubungi Rossi dan jika dia ada sebarang nasihat, saya akan cuba melakukannya,” kata Bagnaia pada Majlis Bertemu Peminat dan Pengenalan Topi Keledar di Ibu Pejabat MKA Group di sini semalam.

Ketika ditanya mengenai kea­daan cuaca pada hari perlumbaan di Sepang, Bagnaia mengharapkan keadaan lebih baik dan dapat beraksi dalam keadaan litar yang kering selepas hujan diramal turun sepanjang tiga hari bermula esok.

Sebagai rekod, pelumba kelahiran Turin, Itali tersebut pernah melakukan kejutan menjulang kemenangan di Sepang pada 2013 yang ketika itu dia beraksi dalam kelas Moto3.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI