PARIS – Kapten skuad Argentina, Lionel Messi memberi bayangan pasukannya bakal mendapat tentangan sengit daripada negara Brazil dan Perancis yang dianggap sebagai pilihan utama untuk menjuarai kejohanan Piala Dunia 2022 di Qatar bulan depan.
Menurut Messi, skuad Argentina tidak boleh dilabel sebagai pilihan tunggal untuk menang pada saingan bola sepak berprestij itu kerana ada beberapa negara lain seperti Jerman, England dan Sepanyol juga tidak boleh dipandang mudah.
“Di atas kertas, banyak negara kuasa besar bola sepak antarabangsa seperti Brazil, Perancis, Jerman, England dan Sepanyol juga dianggap sebagai calon untuk menang pada Piala Dunia tahun ini.
“Jika diberi pilihan peribadi, pencabar utama Argentina mungkin akan hadir menerusi Brazil dan Perancis. Kedua-dua pasukan ini memiliki ramai pemain berkelas dunia dan telah dikumpulkan untuk tempoh yang lama.
“Malah, apa yang menguatkan kedua-dua skuad tersebut adalah mereka dibimbing seorang jurulatih yang telah lama membimbing pasukan seperti Didier Deschamps untuk Perancis dan Tite (Brazil),” kata pemain berusia 35 tahun itu.
Mengulas lanjut, Messi turut meramalkan skuad La Albiceleste bakal berdepan tugas sukar selepas diundi dalam Kumpulan C bersama Arab Saudi, Mexico dan Poland pada kejohanan yang akan membuka tirai pada 20 November depan.
“Sukar untuk ramalkan ketika ini kerana pemain sedang mengharungi jadual padat pada peringkat kelab dengan ada dalam kalangan mereka dihimpit kecederaan. Selain itu, kita juga diundi dalam kumpulan yang sukar dan apa sahaja boleh berlaku,” katanya. – AGENSI