fbpx

Masalah terbantut boleh dirawat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
IBU bapa perlu sentiasa memantau ketinggian anak mereka dari semasa ke semasa. – Gambar hiasan

RAMAI tidak kisah apabila seseorang wanita itu memiliki tubuh rendah atau kecil molek. Walaupun beberapa sentimeter lebih rendah daripada biasa, namun ia tidak banyak memberi kesan kepada kanak-kanak perempuan atau wanita.

Bagaimanapun, ketinggian yang luar biasa rendah atau terbantut boleh memberi kesan psikososial serius.

Kanak-kanak perempuan yang terlalu rendah mungkin menghadapi kemungkinan dibuli dan didiskriminasi, terutamanya dalam kalangan rakan sebaya.

Mereka juga mungkin akan membandingkan diri secara negatif dengan rakan-rakan yang berketinggian normal.

Hal ini boleh mengakibatkan tekanan psikologi, kurang keyakinan diri dan pengasingan sosial.

Apabila mereka membesar dan memasuki alam pekerjaan, keadaan tersebut boleh membawa kepada diskriminasi di tempat kerja.

Banyak kajian menunjukkan bahawa individu lebih rendah cenderung memperoleh pendapatan lebih kecil dan dilihat sebagai kurang berpengaruh.

Wanita lebih rendah dari segi fizikal juga cenderung mempunyai pelvis lebih kecil yang boleh mengakibatkan kesukaran semasa melahirkan anak.

Tambahan pula, kajian menunjukkan bahawa wanita rendah cenderung mengalami tempoh kehamilan lebih pendek, saiz bayi kecil dan berisiko tinggi menjalani pembedahan caesarean.

Ketinggian yang tidak normal itu juga boleh menjejaskan aktiviti harian seperti memerlukan tempat duduk lebih tinggi apabila memandu kereta.

Ketinggian yang dijangkakan untuk kanak-kanak perempuan atau wanita dinilai mengikut umur, populasi dan genetik ibu bapa mereka.

Di Malaysia, kita menggunakan carta pertumbuhan tinggi mengikut umur yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia bagi mengukur kanak-kanak dari lahir hingga berusia 19 tahun.

Secara puratanya, seorang kanak-kanak perempuan berumur lima tahun dijangka mempunyai ketinggian sekitar 110 hingga 115 sentimeter (cm). Bagi kanak-kanak berumur 10 tahun, median ketinggian adalah antara 139 hingga 144 cm.

Bagaimanapun, purata ketinggian bagi wanita dewasa di Malaysia adalah antara 152 hingga 156 cm.

Ini bermakna, kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun di Malaysia perlu mempunyai ketinggian antara 130 hingga 135 cm bagi mencapai purata ketinggian dewasa.

Pada peringkat individu, kanak-kanak perempuan dijangka akan mencapai ketinggian sekurang-kurangnya sama dengan ibu mereka selepas mengalami pertumbuhan akil baligh.

Justeru, faktor ketinggian ibu berpotensi menyumbang kepada berlakunya masalah terbantut kepada seseorang kanak-kanak perempuan.

KUALITI makanan memainkan peranan penting terhadap pertumbuhan kanak-kanak.
– Gambar hiasan

Kanak-kanak perempuan yang ketinggiannya lebih rendah daripada purata 10 cm atau lebih pada carta pertumbuhan yang sesuai dengan umurnya akan dianggap mempunyai tanda-tanda awal isu terbantut.

Jadi, kanak-kanak perempuan tersebut disaran supaya berjumpa doktor secepat mungkin bagi tindakan lanjut.

Kajian melibatkan lebih 15,300 kanak-kanak oleh Universiti Malaya mendapati, 16.1 peratus (%) kanak-kanak di Malaysia yang berusia satu hingga lima tahun adalah terbantut, manakala 20% lagi berisiko mengalami masalah tersebut.

Mereka yang ditakrifkan terbantut mempunyai tinggi yang lebih rendah daripada dua sisihan piawai ketinggian purata.

Sementara itu, mereka yang berisiko terbantut mempunyai tinggi antara satu dan dua sisihan piawai ketinggian purata.

Antara punca berlakunya masalah terbantut di negara ini adalah disebabkan kekurangan zat makanan. Masalah tersebut merangkumi pengambilan makanan kurang berkualiti serta sajian diambil pada kuantiti rendah.

Tingkah laku ketika pengambilan makanan juga memainkan peranan penting terhadap ketinggian seorang kanak-kanak.

Misalnya, kanak-kanak yang makan perlahan atau cerewet akan mempunyai ketinggian lebih rendah.

Kanak-kanak yang menghidap penyakit kronik seperti jantung kongenital, pernafasan, kanser atau gangguan malserapan juga boleh mengalami masalah terbantut.

Di samping itu, bayi yang dilahirkan cukup bulan dan kecil (berat kurang daripada 2.5 kilogram) pada usia kehamilan (SGA) berpotensi menjadi rendah dan tidak normal.

Walaupun bayi mungkin sihat, namun SGA yang tidak mencapai pertumbuhan normal pada hari keempat atau kelima kelahiran akan meningkatkan risiko menghadapi masalah terbantut.

Sebab-sebab lebih khusus berlakunya masalah terbantut adalah kekurangan hormon pertumbuhan dan keadaan genetik seperti sindrom turner pada kanak-kanak perempuan.

Selain itu, terdapat tiga lagi faktor yang boleh memberi kesan kepada kebantutan kanak-kanak perempuan iaitu pemakanan, kurang tidur dan gaya hidup.

Terdapat kaedah untuk merawat dan mengurus kanak-kanak perempuan yang mempunyai masalah kerendahan tidak normal.

Bagaimanapun, faktor utama yang mempengaruhi keberkesanan rawatan tersebut adalah umur semasa didiagnosis dan waktu rawatan dimulakan.

Sekiranya terlalu lewat, peluang untuk membantu seseorang kanak-kanak perempuan itu mencapai ketinggian potensi maksimum mereka adalah kecil.

Kerendahan tidak normal selalunya disedari apabila ibu bapa membandingkan anak perempuan mereka dengan rakan sekelas atau kanak-kanak di sekeliling.

Sebaik-baiknya, kanak-kanak perempuan yang berketinggian rendah harus dirujuk kepada doktor endokrinologi pediatrik pada usia tujuh hingga 10 tahun.

Tindakan tersebut dapat memberi masa secukupnya untuk diagnosis, pemantauan dan rawatan.

Prof. Madya Dr. Azriyanti Anuar Zaini ialah Pakar Perunding Pediatrik dan Endokrinologi Pediatrik, UM Specialist Centre dan pensyarah di Jabatan Pediatrik, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI