SEREMBAN – Kementerian Kesihatan kini sedang memantau penularan subvarian Omicron XBB yang juga dikenali sebagai Gryphon di negara jiran, Singapura.
Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, pemantauan turut melibatkan laluan masuk ke negara ini di Tambak Johor dan Jambatan Kedua yang digunakan oleh ribuan orang di kedua-dua negara setiap hari.
Sehingga kini, katanya, keadaan adalah terkawal dan kedua-dua pihak saling bertukar-tukar maklumat mengenai kedudukan semasa dalam usaha membendung penularan varian baharu Covid-19.
“Rakyat dinasihatkan jangan bimbang. Jalani kehidupan seperti biasa, tetapi sentiasa waspada kerana kita sebenarnya masih lagi dalam fasa peralihan pandemik ini.
“Saya akan buat kenyataan penuh minggu depan selepas mendapat maklumat lebih terperinci mengenai Gryphon,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Penyerahan Peranti Siswa Keluarga Malaysia di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Seremban di sini hari ini.
Menurutnya, pihak berkuasa sudah pun mengesan gelombang kecil subvarian itu yang mungkin merebak ke negara ini, tetapi belum membawa kepada peningkatan kepada kemasukan ke hospital atau kematian.
Namun demikian, jelasnya, bilangan kes dijangka akan meningkat sedikit untuk beberapa minggu akan datang.
“Sejauh mana peningkatan itu, pegawai di kementerian saya sedang membuat unjuran berdasarkan kepada model kebolehjangkitan sebelum ini,” ujarnya.
Khairy dalam pada itu menarik perhatian, beliau tidak ada perancangan untuk mengembalikan apa-apa sekatan walaupun Singapura telah menyatakan pemakaian pelitup muka mungkin dikembalikan.
Beliau menambah, tidak boleh menolak kemungkinan pemakaian pelitup muka itu mungkin diwajibkan, tetapi pada masa ini tidak ada keperluan berbuat demikian. – KOSMO! ONLINE