WASHINGTON – Seorang wanita berkongsi satu kisah di laman Reddit mengenai bekas suaminya yang membina sebuah keluarga dengan anak perempuannya, lapor akhbar New York Post semalam.
Tiffany, 40, berasa semua impiannya seakan menjadi kenyataan apabila bertemu dengan Mark. Pada ketika itu, dia mempunyai seorang anak perempuan berusia tiga tahun.
“Hidup saya terasa sempurna. Pada 2010, saya melahirkan seorang anak lelaki dengan suami saya. Saya ada dua anak, suami yang hebat, rumah, kereta dan kerja yang bagus. Kehidupan yang hebat.
“Suami saya kemudian memberitahu bahawa dia telah menjalinkan hubungan dengan anak perempuan saya dan meninggalkan saya untuk dia,” katanya.
Tiffany ketika itu menyedari bahawa setelah tujuh tahun, dunianya yang sempurna akan runtuh. Mark memaklumkan perkara itu sejurus selepas ulang tahun anak perempuannya yang ke-18.
Tiffany bagaimanapun tidak menghalang pasangan itu untuk meninggalkannya, manakala anak perempuannya tidak faham mengapa ibunya sangat kecewa dan marah.
Setahun kemudian, anak perempuannya hamil dan Tiffany ketika itu memutuskan untuk menjauhi mereka dari hidupnya.
Setelah empat tahun, anak perempuannya mengandung pula anak kedua. Bekas suaminya yang kini berusia 44 tahun sudah mempunyai dua anak dengan anak perempuan Tiffany yang kini berusia 22 tahun.
“Anak-anaknya (Mark) ialah cucu saya yang juga merupakan adik-beradik tiri kepada anak perempuan saya. Ia menjijikkan. Saya tidak tahu bagaimana untuk menghadapinya,” katanya. – Agensi