JAKARTA – Menteri Kesihatan, Budi Gunadi Sadikin berkata terdapat penemuan sebatian tertentu atau bahan kimia berbahaya dalam ubat yang diambil oleh kanak-kanak yang mengalami kegagalan buah pinggang akut progresif atipikal (AKI), lapor stesen penyiaran CNNIndonesia kelmarin.
Tiga sebatian tersebut adalah etilena glikol (EG), dietilena glikol (DEG), dan etilena glikol butil eter (EGBE).
“Beberapa jenis ubat dalam bentuk sirap yang digunakan oleh pesakit berumur bawah lima tahun dan mengalami simptom AKI mempunyai EG, DEG, EGBE. Bahan ini tidak sepatutnya ada atau mempunyai tahap yang sangat sedikit dalam ubat sirap,” kata Budi.
Budi berkata, ketiga-tiga bahan kimia itu adalah kekotoran daripada bahan kimia ‘tidak berbahaya’ iaitu polietilena glikol yang digunakan sebagai penambah keterlarutan atau pelarut tambahan dalam banyak ubat jenis sirap.
Justeru, Budi berpesan agar semua farmasi yang beroperasi di Indonesia buat sementara waktu tidak menjual ubat-ubatan dalam bentuk sirap kepada orang ramai.
Petugas kesihatan juga diminta tidak memberi ubat sirap kepada pesakit lagi.
“Kementerian Kesihatan mengambil sikap konservatif dengan mengharamkan sementara penggunaan ubat sirap, memandangkan kes kanak-kanak kecil yang dikenal pasti menghidap AKI sudah mencecah kadar kematian atau kadar kematian menghampiri 50 peratus,” katanya.
Jumlah kumulatif penyakit AKI di Indonesia mencapai 206 orang di 20 wilayah pada Selasa lalu dan daripada ratusan kes, 99 daripada mereka meninggal dunia. – Agensi