fbpx

Kasma harap tuah gelanggang sendiri di Sepang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KASMA akan beraksi dalam saingan Moto2 bersama pasukan Petronas MIE Racing menggunakan tiket wild card pada GP Malaysia di SIC minggu ini. – SHIDDIEQIIN ZON

PELUMBA berbakat negara, Kasma Daniel Kasmayudin tekad untuk mencatat keputusan terbaik menjelang perlumbaan Grand Prix (GP) Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hujung minggu ini.

Dia yang akan beraksi dalam kategori Moto2 bersama pasukan Petronas MIE Racing menggunakan tiket wild card akhirnya dapat melunaskan hasrat untuk memecut jentera di hadapan penyokong sendiri selepas kempunan melakukannya pada musim 2020.

Walaupun mengakui ber­depan tekanan tersendiri, namun pelumba berbakat itu percaya, dia mengambil aura daripada penonton untuk menampilkan tunggangan terbaik seterusnya menamatkan perlumbaan di kedudukan positif.

“Ketika musim 2020, memang saya nak berlumba di Sepang tetapi waktu itu tiada perlumbaan di Asia kerana pandemik Covid-19. Kami hanya mengikuti perlumbaan di Eropah pada ketika itu.

“Justeru, ini adalah peluang terbaik untuk saya berlumba di hadapan penyokong sendiri. Saya akan berusaha untuk catat keputusan terbaik dan apa yang penting adalah tamatkan perlumbaan dengan kegembiraan,” katanya ketika ditemui di SIC semalam.

Pada masa sama, pelumba berusia 22 tahun itu yang baru sahaja melangsungkan perkahwinan minggu lalu tidak gusar walaupun pesaing-pesaingnya nanti sudah memiliki pengalaman mengendalikan jentera yang dikuasakan enjin Triumph tersebut.

Selain itu, dia juga enggan meletakkan sasaran spesifik pada perlumbaan hujung minggu ini kerana tidak mahu memberikan tekanan kepada diri sendiri, biarpun ada pengalaman mengendalikan jentera 1,000cc.
“Memang kita ada banyak kekurangan semasa perlumbaan nanti kerana mereka sudah ada pengalaman hampir empat tahun dengan enjin

Triumph. Bagaimanapun, saya harap pe­ngalaman saya mengendalikan jentera 1,000cc membantu untuk sesuaikan diri.

“Ketika melakukan ujian sebelum ini, kami menggunakan enjin Honda tetapi casis sama, jadi ia agak berlainan. Mungkin jentera 1,000cc dengan Moto2 lebih kurang sama, cuma kawalan berbeza,” ujar Kasma.

Selain Kasma, turut menggalas harapan seluruh rakyat Malaysia dalam saingan Moto2 nanti adalah Azroy Hakeem Anuar untuk tiket wild card, manakala seorang lagi pelumba berpengalaman, ­Khairul Idham Pawi sebagai simpanan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI