fbpx

Kadar inflasi Malaysia pada September catat 4.5 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Kadar inflasi Malaysia pada bulan September mencatatkan sebanyak 4.5 peratus iaitu lebih rendah berbanding 4.7 peratus yang direkodkan pada Ogos lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, Malaysia mencatatkan kadar inflasi lebih rendah pada September berbanding beberapa negara terpilih seperti Zon Euro (10 peratus), Amerika Syarikat (8.2 peratus), Filipina (6.9 peratus), Thailand (6.4 peratus) dan Indonesia (6 peratus).

Menurutnya, bagi tempoh Januari hingga September pula, kadar inflasi adalah 3.3 peratus.

“Kenaikan pada September disumbangkan oleh peningkatan inflasi kumpulan makanan yang menyederhana kepada 6.8 peratus berbanding 7.2 peratus pada Ogos.

“Kenaikan yang perlahan bagi kumpulan makanan itu didorong oleh komponen makanan di rumah yang meningkat dengan sederhana iaitu 5.7 peratus berbanding 6.4 peratus pada Ogos,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Jelasnya, subkumpulan daging merangkumi ayam, daging lembu, babi, kambing, kerbau dan itik turut mencatatkan peningkatan lebih perlahan kepada 6.6 peratus pada September berbanding 9.9 peratus Ogos lalu.

Mustapa berkata, walaupun kumpulan susu, keju dan telur mencatatkan peningkatan tertinggi sebanyak 8.8 peratus pada September, namun ia masih perlahan berbanding peningkatan 9.4 peratus pada Ogos.

“Telur ayam menyumbang sebanyak 22.8 peratus kepada keseluruhan wajaran subkumpulan susu, keju dan telur yang turut menyederhana kepada sembilan peratus berbanding 12.6 peratus pada bulan sebelumnya.

“Subkumpulan sayur-sayuran juga telah mula menyederhana pada September dengan catatan 6.3 peratus berbanding 8.9 peratus pada bulan sebelumnya,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI