KUALA LUMPUR – Prinsipal pasukan RNF Racing MotoGP, Datuk Razlan Razali percaya ketiadaan pelumba Malaysia beraksi secara tetap pada Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) antara penyebab jualan tiket Grand Prix (GP) Malaysia sedikit perlahan.
Setakat ini, jualan tiket baru melepasi 50 peratus meskipun GP Malaysia kembali dianjurkan di tanah air selepas dua tahun ditangguhkan gara-gara pandemik Covid-19. Sepang pernah mencatatkan jumlah kehadiran tertinggi pada edisi 2019 dengan 103,850 peminat pada hari perlumbaan.
Razlan menegaskan, penggunaan tiket wild card untuk menampilkan pelumba tempatan pada GP Malaysia tidak cukup untuk peminat tempatan hadir ke litar kebanggaan negara.
“Sukar untuk saya mengulas mengenai perkara ini terutama sambutan peminat menjelang GP Malaysia kerana saya tidak mahu dilabel sebagai penyibuk.
“Bagaimanapun, ia sangat berbeza dengan 2019, kerana berikutan Covid-19 dan juga inflasi dan sebagainya tetapi saya percaya minat terhadap GP Malaysia masih ada. Salah satu sebab GP Malaysia begitu berjaya pada masa lalu kerana ada pelumba tempatan beraksi secara penuh. Mungkin strategi itu tidak ada kali ini.
“Mereka mahu melihat pelumba Malaysia bersaing dari pusingan pertama hingga tamat, saya percaya ini adalah faktor penyebab penjualan tiket perlahan. Saya sedih jika MotoGP di Malaysia kurang sambutan,” kata Razlan yang merupakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif SIC.
Dalam pada itu, Razlan mempunyai mempunyai pandangan berbeza mengenai pemilihan pelumba wild card pada GP Malaysia.
“Pada saya, saya lebih menilai Syarifuddin Azman kerana dia muncul melalui program yang betul dan dia layak untuk musim penuh pada saingan Moto3. Apa yang dilakukan oleh ZK Racing dengan meletakkan Syarifuddin di pentas Eropah adalah laluan betul untuk kejohanan dunia.
“Bagi saya baki tiga lagi pelumba yang hanya turun di Sepang sebagai satu persembahan, jadi saya tertanya-tanya apakah program mereka selepas itu?” tegas Razlan.
GP Malaysia meletakkan empat pelumba tempatan menggunak wild card tahun ini. Syarifuddin akan bersaing pada Moto3, manakala Azroy Hakeem Anuar dan bekas pelumba kejuaraan dunia, Kasma Daniel Kasmayudin dan Khairul Idham Pawi akan bersaing dalam kelas Moto2.