fbpx

JPJ kutip RM286 juta hasil bidaan kurang setahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zailani (dua dari kanan) menyampaikan sijil penghargaan kepada media ketika menghadiri Majlis Amanat Khas dan Pelancaran Kaunter Pandu Lalu JPJ Pulau Pinang di Seberang Jaya hari ini. - Foto SITI NUR MAS ERAH AMRAN

SEBERANG PERAI – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mencatatkan pendapatan RM286 juta hasil kutipan bidaan secara dalam talian (JPJeBid) dalam tempoh kurang 10 bulan tahun ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Zailani Hashim berkata, inisiatif pembidaan nombor pendaftaran kenderaan memudahkan kedua belah pihak berurusan dalam talian.

“Sehingga Oktober ini, sebanyak 124 siri nombor pendaftaran telah diperkenalkan melalui sistem e-bid dengan purata keuntungan sebanyak RM2.3 juta bagi setiap siri.

“Sistem ini menjadi pemudah cara buat pengguna untuk membida nombor-nombor yang disukai secara telus dan efektif.

“Kalau dahulu, orang Pulau Pinang tidak boleh bida nombor plat luar, tetapi sekarang boleh bida nombor mana-mana negeri hatta Sarawak sekalipun secara dalam talian,” katanya selepas menghadiri Majlis Amanat Khas dan Pelancaran Kaunter Pandu lalu JPJ Pulau Pinang di Seberang Jaya, di sini hari ini.

Sehingga kini, seramai 940,000 individu telah melayari JPJeBid dan diyakini akan terus meningkat susulan sistem yang mesra pengguna.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata kaunter pandu lalu memudahkan urusan pelanggan menerusi tempoh transaksi singkat.

Katanya, pelanggan boleh memperbaharui lesen kenderaan motor (LKM), lesen memandu Malaysia (LLM), pertukaran lesen memandu percubaan (PDL) ke lesen memandu Malaysia (CDL) dan pembayaran saman terkini menerusi transaksi kurang dari lima minit.

“Kita akan luaskan perkhidmatan ini ke Perak, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan dalam masa terdekat.

“Bagi perkhidmatan terbaharu pula, kita akan sediakan 100 unit kiosk yang mesra orang kurang upaya (OKU) dan akan ditempatkan di seluruh negara,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI