fbpx

Jangan jadi pemimpin mahu kuasa, cari kekayaan – Sultan Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah

SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan pemimpin yang hanya mahukan kuasa dan mencari kekayaan dunia akan menjadi perosak dan pengkhianat kepada rakyat dan negara.

Menerusi kenyataan di Facebook Selangor Royal Office, Sultan Sharafuddin bertitah, pemimpin yang tidak menegakkan nilai integriti, kejujuran dan amanah akan menyebabkan pemimpin itu sendiri terjerumus ke dalam aktiviti bersifat kemunafikan dan kemaksiatan.

Tegas baginda, ini termasuk mengamalkan amalan rasuah, salah guna kuasa, pecah amanah dan menyebarkan fitnah yang mengakibatkan kerosakan sebuah kehidupan bermasyarakat dan bernegara.

“Beta ingin menegaskan bahawa pemimpin yang khianat, menipu dan menyalahgunakan kuasa untuk mengumpul kekayaan diri pasti akan dibenci oleh rakyat dan dikutuk oleh Allah SWT kerana boleh menjahanamkan negara.

“Rosaknya pemimpin maka rosaklah negara ibarat kata pujangga “jika keruh air di hulu, maka keruhlah ia di hilir”,” katanya hari ini.

Sultan Sharafuddin turut menyeru sekalian rakyat khususnya umat Islam agar menghayati dan memahami intipati Khutbah Jumaat yang disampaikan oleh khatib di masjid-masjid Negeri Selangor hari ini bertajuk “Pemimpin dan Negara”.

Baginda menegaskan, sifat jujur dan amanah hendaklah menjadi identiti yang sebati dalam diri pemimpin.

“Pemimpin hendaklah menyerlahkan bukan sahaja kelembutan budi bahasa, tetapi kemuliaan akhlak dari sudut kejujuran dan keikhlasan serta boleh diyakini dan dapat dipercayai oleh rakyat bahkan mengundang kehormatan daripada negara-negara lain di dunia.

“Pada masa yang sama, pemimpin yang jujur dan amanah pastinya seorang pemimpin yang bukan sahaja jujur kepada orang lain, bahkan pada diri sendiri,” titah baginda.

Mengulas lanjut, Sultan Sharafuddin memaklumkan pemimpin berintegriti, jujur dan beramanah bukan sahaja akan mengubah landskap dan ekosistem kehidupan bermasyarakat.

Malah, jelas baginda akan memacu negara untuk mencapai matlamat yang telah dirangka agar menjadi sebuah negara mampan, stabil, dihormati serta beridentiti.

“Integriti adalah kepatuhan kepada prinsip-prinsip beragama, nilai dan norma sejagat dan etika yang kuat.

“Insan terbaik yang sangat kita cintai iaitu junjungan besar Nabi kita Muhammad SAW. Baginda telah menonjolkan dirinya sebagai ikon hamba Allah yang berintegriti tinggi, sehingga dikenali dengan gelaran ‘al-Amin’, iaitu ‘yang sangat dipercayai’ dalam kalangan masyarakat Islam ketika itu,” ujar baginda. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI