KLUANG – Nasib sepasang suami isteri ibarat sudah jatuh ditimpa tangga apabila bukan sahaja menderita akibat penyakit kulit dan saraf, malah dua daripada tiga anak mereka mempunyai masalah autisme sehingga dikategorikan sebagai orang kelainan upaya (OKU).
Mohd. Noh Zainal, 40, berkata, keperitan hidup mereka sekeluarga bermula apabila dia diserang penyakit kulit sejak tiga tahun lalu, manakala isterinya, Nurfarhana Kamarulzaman, 39, pula menghidap penyakit saraf tulang belakang sejak 2013.
Katanya, dia tidak mampu melakukan kerja berat dan terlalu lama untuk mencari nafkah disebabkan penyakitnya itu dan hanya membuat kerja kampung yang ringan untuk mencari pendapatan tambahan.
“Saya menerima bantuan RM650 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Majlis Agama Islam Negeri Johor yang dijadikan sumber utama untuk menampung kehidupan kami tujuh beranak.
“Selain itu, saya juga perlu menguruskan pembelajaran anak tiri di sebuah kolej di Kuala Lumpur, manakala anak sulung pula belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Perdana di sini,” katanya ketika ditemui di Jalan Dahlia, Kampung Melayu dekat sini.
Menurut Mohd. Noh, keadaan itu memaksa dia menggunakan kesemua wang bantuan itu untuk menampung kos perubatan dia dan isteri, dua anak OKU dan pembelajaran dua anak tirinya.
Tambahnya, mereka terpaksa mengikat perut dan belanja apa yang perlu. Sesekali mereka ada menerima bekalan makanan yang disumbangkan oleh pelbagai pihak.
“Bantuan RM650 yang diterima memang tidak mencukupi dan kami gagahkan juga mencari sumber tambahan melalui kerja-kerja ringan yang mana mampu,” katanya.
Dia berharap agar penyakit kulit yang dihidapinya agar segera sembuh bagi membolehkannya bekerja semula untuk menyara keluarga.
Terdahulu, Mohd. Noh menerima kunjungan Ketua Pengerusi Pertubuhan Insan Perihatin Kluang, Mohammad Haizan Jaafar yang menghulurkan sumbangan dan bantuan barang dapur.
Orang ramai yang ingin membantu keluarga ini boleh menghubungi Mohd. Noh di talian 016-700 9810 atau menyalurkan terus sumbangan ke nombor akaun Bank BSN Nurfahana di 10005-41-00008557-2.