fbpx

Israel bimbang Australia akan iktiraf negara Palestin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan – Foto AFP

TEL AVIV – Pihak berkuasa Israel dilaporkan bimbang kerajaan Australia mungkin mengiktiraf negara  Palestin, lapor laman beri­ta Thaiger kelmarin.

Perkembangan itu berlaku susulan pengumuman Canberra menarik balik keputusan pada tahun 2018 yang mengiktiraf Baitulmuqaddis Barat sebagai ibu kota Israel.

Seorang pegawai Israel me­ngaitkan keputusan tersebut dengan kebimbangan bahawa kerajaan baharu  Australia itu akan mengambil langkah sete­rusnya dengan mengiktiraf negara Palestin, lapor laman berita The Times of Israel.

Pegawai  berkenaan dilaporkan tidak memberikan  penjelasan lanjut mengenai kebimbangannya,  namun seorang diplomat Israel memberitahu media tempatan bahawa pengiktirafan Canberra kini menjadi kebimbangan utama Rejim Zio­nis.

Dalam konflik yang berlarutan sejak sebelum 1948, penduduk Israel dan Palestin sering bertempur bagi merebut tanah dengan konfrontasi melibatkan isu keagamaan, negara dan pencabulan hak asasi manusia.

Israel secara berterusan me­rampas lebih banyak tanah milik penduduk Palestin dan menggunakan alasan ‘langkah keselamatan bagi membanteras keganasan dan pemilikan atas faktor sejarah’  bagi tindakan tersebut.

Bagaimanapun, sebahagian besar masyarakat antarabangsa termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menganggap tindakan berterusan Israel me­rampas tanah rakyat Palestin sebagai tidak sah dan mengiktiraf sebuah negara Palestin berdasarkan garisan sempadan 1967.

Baitulmuqaddis merupakan lokasi panas membabitkan  pertikaian wilayah. Pegawai-pegawai Israel sering merujuk kota itu sebagai ‘ibu kota Israel untuk selama-selamanya dan tidak boleh dipisahkan’.

Bagi rakyat Palestin pula, mereka menuntut Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negara Pa­lestin pada masa depan.

Dalam pada itu, Menteri Luar Australia, Penny Wong berkata pada Selasa lalu bahawa negaranya  komited agar keamanan antara Israel dan Palestin dapat dicapai, justeru, Canberra tidak akan menyokong pendekatan yang menjejaskan prospek tersebut. – Agensi 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI