fbpx

Ikut kepala sendiri, punca Naqiu menyepi 12 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BIARPUN memegang gelaran juara GV6, namun Naqiu hairan mengapa lagu-lagu baharunya kurang mendapat sambutan.

KUALA LUMPUR – “Kalau nak hidup lama dalam industri, tak boleh ikut kepala sendiri.”

Demikian buah fikiran dilontarkan vokalis kumpulan Boboy iaitu Naqiu berhubung survival seni muziknya terutama selepas bergelar juara program realiti, Gegar Vaganza musim keenam (GV6).

Kata Naqiu, 36, jika berbuat demikian (ikut kepala sendiri), kariernya akan kembali ‘terkubur’ sama seperti 12 tahun lalu.

“Saya kena realistik dan tidak boleh ikut kepala sendiri kerana itu adalah punca saya menyepi selama 12 tahun dahulu.

“Saya masih buat kajian bagaimana menghasilkan karya yang terbaik untuk buat kemunculan semula.

“Tahun depan saya akan buat kelainan. Bukan satu tetapi kemungkinan dua atau tiga. Cuma tidak akan diberitahu sekarang,” ujarnya kepada Kosmo! Online.

Dalam pada itu, Naqiu atau nama lengkapnya Wan Naqiuddin Mohd. Najib melahirkan rasa terkilan dengan penerimaan lagu-lagu terbaharunya yang dihasilkan selepas tamat program berkenaan tiga tahun lalu.

Katanya, karya-karya yang dihasilkan olehnya kurang mendapat sambutan daripada peminat hingga membuatkan dia berasa kecewa.

“Sejujurnya saya tidak berpuas hati dengan lagu baharu yang dikeluarkan selepas GV6. Bukan sebab lagu yang membuatkan saya tidak suka, cuma hasilnya selepas keluar.

“Tidak tahu mana salahnya. Adakah konsep nyanyian atau cara untuk promosikan diri?” katanya.

Sehubungan itu, Naqiu masih mendengar pendapat daripada peminat mengenai persembahannya untuk penambahbaikan namun masih tidak mampu menghasilkan karya yang terbaik.

“Selepas keluar dari GV6 saya sering menghasilkan lagu sendiri. Ramai yang tanya saya bila nak keluarkan lagu dengan Boboy sehingga ada yang label saya lupa diri.

“Namun, selepas saya kembali kepada konsep lama bersama Boboy, kesannya hanya selama dua minggu. Jadi saya perlu buat banyak kajian untuk menghasilkan lagu yang boleh hit setanding penyanyi lain,” luahnya.

Pun begitu, dia masih tidak berputus asa untuk menghasilkan karya yang bagus supaya dapat memberikan yang terbaik sepanjang bergelar anak seni.

“Saya masih mencari formula untuk menghasilkan lagu hit supaya boleh pergi lagi jauh memandangkan Datuk Ramli MS juga pernah berpesan untuk tidak mengharapkan orang lain sebaiknya mencipta karya sendiri.

“Saya berharap tahun 2023 akan mendatangkan banyak tuah kerana banyak yang sudah dirancang seperti perubahan dalam genre muzik,” jelasnya.

Naqiu berkata demikian ketika ditemui pada majlis tayangan drama pendek, Astana Mini Series yang merupakan arahan sulung pelakon Luqman Hafidz. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI