MANCHESTER – Pengurus Manchester United, Erik Ten Hag berang dengan tindakan pemain bintang, Cristiano Ronaldo yang meninggalkan bangku simpanan sebelum perlawanan tamat ketika mereka menewaskan Tottenham Hotspur 2-0 awal pagi semalam.
Pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) yang berlangsung di Old Trafford itu, United memastikan tiga mata menjadi milik mereka menerusi dua gol hasil jaringan Fred dan Bruno Fernandes.
Bagaimanapun, kemenangan itu dihiasi insiden kurang enak apabila Ronaldo yang sekadar memanaskan bangku simpanan dilihat berjalan menuju ke bilik persalinan ketika perlawanan berbaki empat minit.
“Saya nampak apa yang dia lakukan (menuju bilik persalinan), tetapi saya belum bercakap dengannya mengenai perkara itu. Ia adalah sesuatu yang saya tidak mahu berlaku dalam perlawanan.
“Saya akan selesaikan perkara ini esok (hari ini), bukannya selepas perlawanan. Sekarang kami mahu raikan kemenangan ini selain pemain-pemain lain perlu pulihkan kecergasan mereka,” kata Ten Hag.
Selain insiden yang melibatkan Ronaldo, bekas jurulatih Ajax itu memuji aksi yang ditampilkan barisan pemainnya apabila dapat menewaskan pasukan ‘liat’ seperti Spurs pada perlawanan tersebut.
“Kita tidak perlu bercakap mengenai Ronaldo setiap hari kerana United bermain sangat baik hari ini (semalam). Apabila ada tiga atau empat pemain yang layak menjadi pemain terbaik perlawanan, ia membuktikan anda sudah menampilkan aksi cemerlang,” ujar beliau. – AGENSI