PUCHONG – Pelumba Gresini Racing, Enea Bastianini mengakui fokusnya terarah untuk memburu kedudukan ketiga keseluruhan pada Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) 2022 sekali gus sedia mencari penamat terbaik di Grand Prix (GP) Malaysia pada hujung minggu ini.
Pelumba Itali tersebut tampil cemerlang di Phillip Island, Australia minggu lalu apabila menamatkan saingan di kedudukan kelima meskipun bermula di petak ke-15.
Keputusan cemerlang tersebut membolehkan pelumba berusia 24 tahun itu berada di tangga keempat keseluruhan dengan mengumpul 191 mata dan dipisahkan 15 mata dengan pelumba Sepanyol, Aleix Espargaro (Aprilia).
“Sasaran saya adalah untuk menamatkan saingan di kedudukan ketiga keseluruhan dan kita akan lihat bagaimana perlumbaan hujung minggu nanti.
“Perlumbaan ketika ini semakin sengit terutama melibatkan perebutan gelaran dunia antara Francesco ‘Pecco’ Bagnaia (Ducati) dan Fabio Quartararo (Yamaha). Apapun saya akan buat yang terbaik,” katanya kepada pemberita pada majlis beramah mesra bersama peminat dan juga pengenalan topi keledar di ibu pejabat MKA Group di sini semalam.
Ketika ditanya mengenai strategi ‘team order’, Bastianini mengakui sehingga kini dia tidak menerima sebarang arahan tetapi dia sedia membantu rakan senegaranya itu.
Pecco dijangka mendapat bantuan seluruh pasukan Ducati untuk membolehkannya menjulang mahkota gelaran dunia di Sepang.
“Saya tidak pasti berkenaan ‘team order’ buat masa ini, tetapi ia bergantung kepada situasi pada ketika itu. Jika saya nak kejar gelaran dunia pun ia terlalu jauh. Kita akan lihat bagaimana nanti,” kata juara dunia Moto2 2020 tersebut sambil berharap dapat berlumba dalam keadaan kering di Sepang.
Secara matematik, pelumba Sepanyol, Espargaro dan Bastianini juga masih berpeluang merebut gelaran juara dunia.