fbpx

PRU15, Azwan Ali sasar Parlimen Gombak, tak serik bertanding

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENGACARA sensasi, Azwan Ali atau Diva AA mendedahkan kemungkinan akan bertanding di kerusi Parlimen Gombak pada PRU15 yang akan diadakan 19 November depan.

PETALING JAYA – Pengacara sensasi, Azwan Ali atau lebih dikenali dengan gelaran Diva AA mendedahkan ada kemungkinan dirinya akan bertanding di Parlimen Gombak pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Kata Azwan atau nama sebenarnya, Mohamed Azwan Ali, 56, ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi, dia tidak gentar untuk bertanding merebut kerusi penyandang kawasan tersebut yang juga abang kandungnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

“Ramai bertanya, adakah saya akan bertanding pada PRU15 akan datang? Jawapannya, ada kemungkinan dan saya akan umumkan nanti.

“Biarpun saya hanya meraih 90 undi ketika bertanding sebagai calon Bebas bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa PRU14 lalu, saya tak serik untuk bertanding sekali lagi.

“Kali ini mungkin di Parlimen Gombak yang turut ditandingi Azmin Ali. Kalau betul saya bertanding dan menang, saya sendiri akan suap rendang di mulutnya (Azmin Ali),” katanya.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Malaya (UM) memaklumkan, dia akan mula berkempen dengan menjual rendang yang pernah meraih perhatian ramai pada PRU14 empat tahun lalu, termasuk menyantuni komuniti di kawasan tersebut dengan menghadiahkan juadah air tangannya sendiri itu.

“Kalau PRU14 dulu saya masak tiga kawah. Kali ini, saya target 10 kawah (rendang) untuk dikongsikan kepada orang ramai terutama penduduk di kawasan Gombak.

“Sekarang, saya mulakan ‘marketing’. Kalau kalian tengok sekarang, orang mula kembali bercakap tentang saya apabila saya muat naik untaian foto bersolek ala wanita dalam semua platform media sosial saya.

“Selepas foto berkenaan mula bertebaran dalam media sosial, orang mula ingat siapa dan betapa hebatnya pengaruh figura bernama ‘Diva AA’. Tunggu sahajalah nanti pengumuman daripada saya,” ujarnya.

Tambahnya lagi, foto ala wanita yang mendapat solekan sentuhan @mariusyusuf tersebut barangkali akan dilekatkan sebagai ‘sticker’ pada bekas rendang sebagai promosi kempen PRU15 yang akan diadakan pada 19 November depan.

“Tak kisahlah apa orang nak cakap saya. Yang penting, sekurang-kurangnya saya ada usaha untuk melihat negara ini bergerak ke arah demokrasi lebih mapan.

“Tunggu sahaja pengumuman saya tidak lama lagi sama ada benar saya akan bertanding di Parlimen Gombak dan mewakili parti apa. Saya positif undian yang sebelum ini hanya berhenti pada angka 90 akan meningkat kali ini di Parlimen Gombak,” katanya lagi.

Terdahulu, Azwan yang bertanding sebagai calon Bebas pada PRU14 bagi DUN Bukit Antarabangsa mencuri perhatian netizen apabila memuat naik beberapa keping foto dirinya dengan solekan ala wanita.

Pada PRU14 empat tahun lalu, Azwan hanya meraih 90 undi sekali gus tewas di kawasan tersebut selepas menghabiskan berhabis puluhan ribu ringgit untuk berkempen.

Akuinya, bukan mudah untuk menawan hati pengundi dan menerima kehendak rakyat yang sudah membuat pilihan mereka. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI