LONDON – Aston Villa dilaporkan bersedia untuk merisik khidmat bekas pengendali Paris Saint-Germain (PSG), Mauricio Pochettino sekiranya keputusan untuk memecat Steven Gerrard dilakukan dalam masa terdekat.
Sebagai rekod, Villa dilihat agak bergelut dengan prestasi apabila hanya mengutip sembilan mata selepas mengharungi 10 perlawanan liga musim ini sekali gus memberi tekanan buat masa depan Gerrard.
Difahamkan, pihak pengurusan tertinggi Villa bakal memberi kata putus pada penghujung minggu ini selepas tamat aksi liga bertemu Fulham awal pagi esok dan Brentford pada Ahad nanti.
Pochettino yang juga bekas pengendali Tottenham Hotspur menjadi pilihan No. 1 pihak pengurusan memandangkan jurulatih kelahiran Argentina itu masih belum terikat dengan mana-mana pasukan sejak dipecat PSG pada Julai lepas.
Bekas penyerang antarabangsa England, Darren Bent percaya Villa merupakan pasukan yang tepat buat Pochettino sekiranya mahu ‘membersihkan’ kembali namanya dengan menjadi salah seorang pengendali berpengaruh dunia.
“Tiada siapa boleh menafikan Villa merupakan salah satu kelab yang memiliki prestij tersendiri di England. Kita tahu sebelum ini kekosongan jawatan pengurus di Manchester United dan Chelsea, tetapi mereka tidak berminat dengan Pochettino.
“Malah, jika dia (Pochettino) menunggu dua lagi kelab utama EPL seperti Liverpool atau Manchester City, mungkin bukan dalam masa terdekat. Justeru, sahamnya akan terus merudum andai masih bergelar penganggur ketika ini.
“Saya cadangkan jika benar dia mendapat tawaran rasmi daripada Villa, terima saja kerana ini adalah pasukan yang sempurna buatnya untuk membina kembali reputasinya selaku pengendali berpengaruh antarabangsa,” katanya. – AGENSI