ALOR SETAR – Seorang petani dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh bayinya sendiri di rumah mereka, dua minggu lalu.
Pertuduhan terhadap Muhammad Nasyran Zamzury, 28, dibacakan di hadapan Majistret, Siti Norhidayah Mohd. Noor dengan tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.
Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu yang mempunyai dua lagi anak perempuan berusia setahun dan enam tahun didakwa membunuh bayi lelakinya yang baru berusia tiga bulan, Muhammad Annas Muhammad Nasyran.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Kampung Teluk Jawa, Sungai Lintang, Mukim Padang Hang dekat sini antara pukul 9 malam, 4 Oktober hingga 1.30 tengah hari, 10 Oktober lalu.
Pertuduhan tersebut dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan, sekali gus menyebabkan tertuduh tidak ditawarkan sebarang jaminan.
Sebelum ini akhbar melaporkan tertuduh ditahan di belakang rumahnya setelah disyaki membunuh bayinya, selepas isterinya yang berusia 22 tahun melarikan diri kerana tidak tahan dipukul.
Selain pertuduhan itu, tertuduh turut berdepan tiga lagi pertuduhan di mahkamah sama dengan salah satu daripadanya mencederakan isterinya, Siti Nur Kamalia Kamaruddin, 22, di sebuah rumah di Kampung Teluk Jawa, Mukim Padang Hang kira-kira pukul 5 petang, 4 Oktober lalu.
Tertuduh dijatuhkan hukuman penjara 14 bulan penjara sebaik mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut.- KOSMO! ONLINE