ROM – Seorang pesohor media sosial dari Britain mencetuskan kemarahan penduduk setempat selepas bergambar separuh bogel di hadapan sebuah gereja di Itali, lapor akhbar The Sun semalam.
Berdasarkan video yang dirakam penduduk tempatan, wanita itu menutup sebahagian badannya menggunakan sehelai kain berwarna merah, namun memperlihatkan bahagian punggungnya di luar gereja bersejarah di bandar Amalfi.
Dia dilihat bergambar dalam gaya menggoda sambil dirakam seorang lelaki di gereja Sant’Andrea.
Menurut media tempatan, wanita tersebut mendakwa dia ingin mencipta ‘memori peribadi’ bersama dua pelancong lain di hadapan orang ramai yang lalu-lalang.
Penggambaran akhirnya dihentikan apabila pihak berkuasa tempatan tiba di lokasi tersebut selepas menerima aduan orang ramai, lapor akhbar Il Mattino.
Menurut laporan sama, wanita berkenaan, jurugambar dan seorang lagi wanita yang berada bersama mereka tidak mendapat kebenaran pihak berkuasa untuk melakukan penggambaran.
Mereka kemudian dinasihati kerana berkelakuan tidak senonoh di tempat awam serta diberi amaran agar tidak berkongsi gambar tersebut di media sosial.
Insiden itu mencetuskan kemarahan penduduk dengan ramai menyelar tindakan wanita berkenaan kerana bergambar tidak senonoh di lokasi keagamaan.
“Perkara yang paling teruk adalah dia melakukan penggambaran separuh bogel namun memilih gereja sebagai lokasi,” kata seorang pengguna Facebook. – Agensi