PASIR MAS – Seorang penyeludup lari meninggalkan sebuah kereta dipandunya yang membawa sebanyak 30 tong berisi 750 liter minyak diesel di Kampung Teliar, Bunut Susu di sini semalam.
Kereta jenis Proton Wira itu ditahan kira-kira pukul 4.20 petang apabila kereta tersebut berhenti selepas mengalami kerosakan pada bahagian tayar semasa dikejar kenderaan anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan.
Pengarah KPDNHEP Kelantan, Azman Ismail berkata, pihaknya menjalankan risikan selepas menerima maklumat mengenai kegiatan penyeludupan minyak diesel menggunakan sebuah kereta.
Menurutnya, anggota bertugas telah mengekori kereta yang dipandu suspek dalam keadaan mencurigakan dari arah Tendong ke Bunut Susu di sini.
“Menyedari kenderaan pihak berkuasa, suspek terus memecut laju kereta tersebut sehingga ke Kampung Teliar sebelum dua tayar keretanya mengalami kerosakan.
“Suspek dilihat turun dari kereta dan melarikan diri berhampiran tali air sebelum masuk ke kawasan semak. Pemeriksaan lanjut di dalam kereta itu telah menjumpai sebanyak 30 tong plastik mengandungi 750 liter minyak diesel bernilai RM1,612.50,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Azman, siasatan mendapati, kesemua bahan api itu dipercayai akan diseludup ke negara jiran melalui pengkalan haram di sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini.- KOSMO! ONLINE