PUTRAJAYA – Jutaan pengguna rokok elektronik atau vape di Malaysia berdepan penyakit kecederaan paru-paru yang dikenali sebagai E-cigarette Or Vaping Product Use-Associated Lung Injury (Evali) sekali gus berisiko mengalami kecacatan kekal pernafasan dan kematian.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) tahun 2019 menunjukkan terdapat kira-kira 1.1 juta pengguna rokok elektronik atau vape di Malaysia malah jumlahnya semakin bertambah hingga memerlukan kejadian penyakit Evali perlu dipantau.
Beliau berkata, penyakit Evali mula didiagnosis pada tahun 2019 di Amerika Syarikat apabila sebanyak 2,800 kes kecederaan paru-paru dan 68 kematian.
Katanya lagi, bagi kes Evali yang dilaporkan di Malaysia sehingga kini merekodkan dua kes pada tahun 2019 manakala lapan kes dikenal pasti melalui kajian Pusat Perubatan Universiti Malaya pada tahun 2021.
“Namun, jumlah yang dilaporkan ini berkemungkinan lebih rendah dari jumlah kes yang sebenar akibat tiadanya garis panduan serta penerangan tentang Evali. Penyakit ini sangat bahaya dan ia wujud dan mitos mengatakan vape lebih selamat daripada rokok tembakau tapi tidak bermakna ia sifar risiko.
“Bagi tahun 2022 pula, bermula dari Jun hingga September, iaitu selepas arahan notifikasi dikeluarkan, sebanyak empat kes disyaki Evali telah dilaporkan kepada KKM dan sedang dalam penyiasatan lanjut pegawai di lapangan,” katanya ketika menyampaikan ucapan pelancaran Panduan Amalan Klinikal Pengurusan Evali di sini hari ini.- KOSMO! ONLINE