fbpx

‘Patut tiga hari, ini tiga jam telur sudah licin’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEBAHAGIAN pelanggan yang beratur untuk mendapatkan bekalan telur ayam di sebuah kedai di Bandar Chukai, Kemaman semalam.

KEMAMAN – Sebuah premis pemborong telur ayam di Bandar Chukai di sini bagaikan berpesta apabila diserbu orang ramai yang masing-masing ingin mendapatkan bekalan bahan mentah itu pagi semalam.

Lebih menarik lagi, kebanyakkan pengunjung yang datang ke kedai berkenaan termasuk dari Kuala Terengganu dan Dungun sanggup beratur panjang seawal pukul 7 pagi.

Pemilik kedai, Alfian Ibrahim, 53, berkata, kehadiran luar biasa pelanggan ke premisnya menyebabkan kesemua 93,000 biji telur ayam yang disediakan habis terjual hanya dalam tempoh tiga jam.

Menurut Alfian, dia baru sahaja menerima bekalan telur itu seawal subuh, namun terkejut apabila melihat lebih 100 pelanggan telah beratur walaupun kedainya hanya dibuka pada pukul 7.30 pagi.

“Kami tak sangka pelanggan seramai ini akan datang ke kedai kami. Mereka datang dari pelbagai daerah dan sanggup beratur panjang untuk mendapatkan bekalan telur ayam.

“Tidak sampai tiga jam, ke­semua 93,000 biji telur atau bersamaan 3,100 papan telur habis dijual. Kebiasaannya, bekalan sebanyak ini memerlukan sekurang-kurangnya tiga hari untuk dihabiskan,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

ALFIAN menunjukkan bekas-bekas telur yang telah kosong selepas kesemua 93,000 biji telur di kedainya habis dijual.

Alfian berkata, berikutan permintaan tinggi tersebut, beliau terpaksa mengehadkan pembe­lian kepada hanya dua dan lima papan telur ayam masing-ma­sing kepada pelanggan biasa dan golongan peniaga.

Tambah beliau, pelanggan yang menyerbu kedainya bukan sahaja dari daerah ini, malah dari beberapa daerah termasuk Kuala Terengganu dan Kuantan, Pahang.

“Saya faham tindakan pelanggan terutama peniaga datang ke kedai saya memandangkan isu kekurangan bekalan telur yang berlaku sejak kebelakangan ini.

“Mereka memang perlukan bekalan untuk keperluan perniagaan dan keluarga,” jelasnya yang menjual telur pada harga bermula RM12 hingga RM13.50 mengikut gred.

SEBAHAGIAN pelanggan yang datang untuk membeli bekalan telur ayam di sebuah kedai di Bandar Chukai, Kemaman semalam.

Jelasnya lagi, masalah kekurangan bekalan telur ayam ini sebenarnya turut menjejaskan perniagaannya sebelum ini.

“Sebelum ini, saya terima bekalan 6,000 papan bagi setiap penghantaran, tetapi kini sudah merosot lebih 50 peratus.

“Situasi itu menyebabkan kedai saya hanya boleh beroperasi sekali dalam seminggu iaitu pada hari Rabu,” katanya.

Tambah Alfian, dia kini masih pening untuk mencari alternatif lain bagi mendapatkan bekalan termasuk untuk membayar gaji enam pekerjanya.

Sementara itu, peniaga kuih tradisional, Zaleha Ismail, 45, memberitahu, dia bertolak dari Dungun seawal pukul 7 pagi untuk membeli telur di premis pemborong Alfian.

“Saya berniaga kuih tradi­sional dan memang perlukan te­lur ayam yang banyak. Sebelum ini, saya sudah mencari merata-rata dari Dungun sampai ke Paka serta Kerteh,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI