KUALA LUMPUR – “Bila tiba waktu dan saya sudah ada kekuatan, saya akan kongsikan. Banyak hati yang perlu saya jaga termasuk keluarga dan pihak pengurusan”.
Demikian jawapan pelakon Luqman Hafidz ketika disoal wartawan tentang situasi rumah tangganya yang didakwa sedang bermasalah selepas dia tidak lagi berkongsi gambar keluarga dalam media sosial.
Ujar Luqman atau nama lengkapnya Muhd. Luqman Hafidz Fauzi, 31, ketika ditemui Kosmo! Online, dia belum bersedia untuk memberi sebarang komen buat masa ini dan akan menjelaskan perkara sebenar apabila tiba waktu yang sesuai.
Katanya, buat masa ini dia hanya mahu ‘bergembira’ untuk meraikan naskhah pertama arahannya, Astana Mini Series yang bakal ditayangkan dalam YouTube Astana Motion Studio pada November ini dan enggan berkongsi perihal kisah rumah tangganya.
“Buat masa sekarang biarlah saya ‘happy’ dulu dan susah untuk saya kongsikan perkara yang agak berat begini (rumah tangga),” jelasnya.
Tambah pelakon yang popular menerusi filem Ola Bola itu lagi, dia mengelak daripada berkongsi kisah rumah tangganya dalam media sosial kerana tidak mahu perkara sebegitu menjadi buah mulut masyarakat sekali gus mengganggu diri serta keluarganya.
“Sejak dulu saya memang tidak berkongsi kisah peribadi kerana enggan menjadikan apa-apa isu sebagai ‘peluru’ untuk netizen menyerang saya.
“Saya faham sebagai anak seni, kita tidak boleh lari daripada persepsi orang. Saya hormat setiap pandangan netizen dan mengharapkan perkara sama daripada mereka,” ujarnya.
Untuk rekod, Luqman mendirikan rumah tangga bersama isteri, Nurul Atiqah Mad Apandi pada 20 Mac 2020. Hasil perkongsian hidup, pasangan itu dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Eve Laura yang kini berusia setahun lapan bulan.
Luqman yang ditemui ketika majlis tayangan perdana Astana Mini Series di sini, hari ini turut berkongsi rasa gembira apabila diberi peluang untuk menjadi pengarah bagi sebuah drama bersiri.
“Saya gembira dengan hasil karya ini. Harap buah tangan saya ini menerima sambutan yang baik daripada penonton.
“Kalau diberi peluang, saya terbuka untuk hasilkan lagi karya di platform lain. Kita beri cerita untuk penonton rasa,” katanya.
Astana Mini Series yang mengisahkan tentang dunia pergigian turut menampilkan lakonan Cik Manggis, Nas-T dan Naqiu.
Setiap episod, Astana Mini Series juga menampilkan pelakon yang membuat penampilan khas seperti Beto Khusyairy, Pablo Amirul, Ezzaty Abdullah dan Mustapha Kamal. – KOSMO! ONLINE