SEOUL – Korea Selatan kini berada dalam kawalan berjaga-jaga 24 jam ketika negara jirannya, Korea Utara didakwa semakin hampir melaksanakan ujian bom nuklear pertama dalam tempoh lima tahun, lapor akhbar The Sun kelmarin.
Seoul pada masa ini bersiap sedia menanti langkah seterusnya yang mungkin diambil oleh Pemimpin Tertinggi, Kim Jong-un dalam siri ujian nuklearnya.
Pejabat Presiden Korea Selatan,Yoon Suk-yeol turut bersedia berdepan dengan kemungkinan ujian nuklear bawah tanah ketujuh Korea Utara setakat ini.
“Memandangkan provokasi Korea Utara semakin kerap, kami mengarahkan semua pasukan tentera untuk mengekalkan kedudukan siap siaga dengan sangat berwaspada.
“Ia adalah rejim kesediaan 24 jam sehingga Pyongyang mengambil langkah seterusnya,” kata seorang pegawai kanan.
Menurut seorang lagi pegawai, pejabat presiden telah membuat rancangan terperinci untuk bertindak balas terhadap ujian nuklear Korea Utara sambil menambah, semua pihak diletakkan dalam kedudukan berjaga-jaga.
Pasukan bersenjata Korea Selatan kini sedang menjalankan latihan tahunan mereka yang direka untuk meningkatkan keupayaan bagi bertindak balas terhadap ancaman nuklear dan peluru berpandu Korea Utara.
“Anggota tentera akan melakukan latihan gerakan siang dan malam dunia sebenar yang disimulasikan untuk menentang nuklear, peluru berpandu dan pelbagai ancaman Pyongyang,” kata kakitangan amnya.
Awal tahun ini, beberapa imej satelit mendakwa Korea Utara melakukan persediaan rapi bagi melaksanakan ujian bom nuklear di pusat Penyelidikan Saintifik Nuklear Yongbyon.
Dalam satu ucapan pada tahun lalu, Jong-un berkata, membangunkan bom nuklear berskala kecil adalah matlamat utama Pyongyang bagi tahun 2022.
Ujian peluru berpandu Korea Utara baru-baru ini telah mendorong Korea Selatan, Amerika Syarikat (AS) dan Jepun untuk melakukan latihan ketenteraan bersama sebagai tindak balas.
Dalam pada itu, Seoul semalam mengkritik Pyongyang kerana melancarkan ujian serangan artileri baharu ke perairan di luar pantai timur dan baratnya untuk hari kedua berturut-turut, dengan menyasarkan zon pemampan maritim yang dibangunkan pada 2018 bagi mengurangkan ketegangan.
Kira-kira 100 pusingan artileri dilancarkan Rabu (semalam), kata Ketua Staf Bersama Korea Selatan dengan menggelar tindakan itu sebagai mencabuli perjanjian 2018.
“Kami mendesak Korea Utara agar segera menamatkan tindakan mereka. Provokasi berterusan akan menggugat keamanan dan kestabilan Semenanjung Korea serta masyarakat antarabangsa,” kata kenyataan tersebut.
Pyongyang semalam menyatakan bahawa pelancaran itu bertujuan bertindak balas terhadap ‘latihan peperangan oleh musuh untuk menentang Korea Utara’ di sepanjang sempadan negara. – AFP/Agensi