KUALA LUMPUR – Penyanyi terkenal Indonesia Rizky Febian mengakui ada perancangan untuk membawa percintaan dengan Mahalini Raharja ke fasa lebih serius.
Ditebak tentang perancangan menamatkan zaman bujang bersama pelantun lagu Sisa Rasa, Rizky, 24, memohon doa yang baik-baik daripada peminat.
“Doakan saja semoga ada sampai ke tahap itu malah di Indonesia saya tak pernah membicarakan tentang hal ini.
“Kini, kami mahu kejar impian masing-masing.
“Jadi biar soal itu menjadi sebuah rahsia saya dan dia tetap kami mempunyai perancangan ke arah itu, jadi doakan,” katanya kepada Kosmo! Online pada sidang akhbar sempena Konsert Rizky Febian Live In KL di sini hari ini.
Berkongsi tentang hubungan cinta, Rizky memberitahu mereka berdua saling menyokong antara satu sama lain.
Membuktikan hal tersebut, Mahalini turut menemaninya di Kuala Lumpur sempena konsert yang berlangsung pada malam ini.
“Kebetulan jadual kerjanya kosong, jadi dia pun temani saya untuk konsert ini.
“Sama juga dengan saya. Kalau ada masa lapang, saya pun temani dia,” katanya lagi.
Disoal tentang sikap Mahalini yang disenangi, pelantun lagu Ragu itu memberitahu dia dan kekasihnya memiliki banyak persamaan yang membuatkan mereka selesa bersama.
“Saya dan dia gila-gila orangnya, bukannya individu yang terlalu menjaga imej.
“Kami saling menerima antara satu sama lain seadanya. Sering ketawa dan bergurau bersama serta melakukan hal-hal bodoh bersama.
“Disebabkan mempunyai banyak persamaan, kami berada dalam satu frekuensi,” ujarnya
Teruja berkongsi tentang persiapan persembahannya di Zepp KL malam nanti, Rizky sudah tidak sabar untuk menghiburkan peminatnya di sini.
“Saya gembira kerana ada peminat yang ramai. Mereka sentiasa menyokong saya.
“Malah saya juga terkejut kerana tiket konsert ini habis terjual dalam tempoh sejam. Semua itu membuatkan saya sangat senang ke sini,” ujarnya lagi.
Pada konsert malam nanti, Rizky bakal mendendangkan 16 buah lagu, termasuk Terlukis Indah, Makna Cinta dan Cuek. – KOSMO! ONLINE