RALEIGH, CAROLINA UTARA – Sebuah lebuh raya di negeri Carolina Utara, Amerika Syarikat terpaksa ditutup sebahagiannya pagi Selasa lalu selepas sebuah treler terbalik sehingga menyebabkan 9,979 kilogram (kg) ikan jatuh berselerak di jalan raya, lapor agensi berita United Press International.
Jabatan Pengangkutan Carolina Utara berkata, treler tersebut terbalik sebelum pukul 5.45 pagi (waktu tempatan), Selasa lalu, di lebuh raya Interstate 95, berhampiran bandar Godwin.
Ia menyebabkan treler tersebut kehilangan muatan yang dibawanya iaitu ikan seberat 9,979 kg dengan kerja pembersihan mengambil masa beberapa jam.
Pemandu treler bagaimanapun dilaporkan tidak cedera.
Beberapa kru di lokasi kejadian berkata, seorang pemandu lain memotong treler tersebut dan menyebabkan kenderaan itu terbalik ketika cuba mengelak. – Agensi