SEPANG – Pelumba Monster Energy Yamaha, Fabio Quartararo mengakui dia akan mengerah segala kudratnya untuk menyekat pelumba Ducati, Francesco ‘Pecco’ Bagnaia dalam perebutan gelaran Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) yang bakal ditentukan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) minggu ini.
Meskipun mengakui berada dalam tekanan untuk mempertahankan gelaran yang dilakarnya musim lalu, namun pelumba Perancis tersebut tekad mencari pelarasan terbaik bermula sesi latihan bebas bermula esok.
Pada ketika ini, perlumbaan yang berbaki dua pusingan, Pecco memimpin carta kedudukan pelumba MotoGP dengan mengumpul 233 mata, 14 mata mengatasi juara bertahan, Quartararo di tempat kedua.
“Perlumbaan di Australia saya tidak berakhir dengan cukup baik. Jadi, sekarang saya berada di kedudukan di mana saya tak perlu memikirkan apa-apa. Hanya perlu cuba sebaik mungkin dengan mentaliti berbeza.
“Saya dapat merasakan tiada apa-apa yang merugikan saya ketika ini. Kami akan berusaha dari pelbagai sudut termasuk melakukan perubahan pada jentera. Saya tetap percaya kami mampu melakukannya pada baki dua perlumbaan lagi,” kata Quartararo pada sidang akhbar sebentar tadi.
Bagnaia akan merangkul gelaran juara MotoGP dunia pada Ahad ini jika dia menang di SIC dengan Quartararo menduduki tempat keempat atau lebih rendah.
Setakat ini Bagnaia sudah memenangi enam perlumbaan serta menaiki podium sebanyak sembilan kali dengan terakhir pada GP Australia minggu lalu yang menyaksikannya menduduki tempat ketiga.
Quartararo pula tidak dapat mempertahankan kedudukan pendahulu buat kali pertama selepas gagal menamatkan perlumbaan pada GP Australia. – KOSMO! ONLINE