fbpx

Enam tokan kampung diberkas, dadah lebih RM34,000 dirampas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Salah seorang suspek diberkas di tepi jalan bersama-sama dadah seberat hampir satu kilogram.

MELAKA – Enam tokan yang dipercayai aktif mengedar di kawasan setempat di sekitar daerah ini berjaya diberkas pihak polis dalam tiga serbuan berasingan, kelmarin.

Dalam serbuan bermula pukul 2 sehingga 7.15 malam itu, kesemua suspek berusia antara 33 hingga 50 tahun telah diberkas pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis (IPK) Melaka dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, hasil tangkapan, pihak polis berjaya merampas dadah jenis heroin dan syabu bernilai RM34,299.98.

“Hasil serbuan, kita berjaya menahan enam lelaki dipercayai terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah, malah salah seorang daripadanya berjaya dicekup ketika dalam perjalanan menghantar bekalan kepada pelanggan dengan menunggang motosikal.

“Suspek yang tidak bekerja itu telah diberkas di tepi jalan dan pemeriksaan ke atasnya menjumpai dadah jenis heroin seberat 878.86 gram,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini, hari ini.

Tambahnya, dalam serbuan itu pihaknya turut menyita dua buah motosikal jenis Yamaha 125Z dan Honda RS150 serta sebuah Proton Waja dengan nilai keseluruhan rampasan RM46,000.

Mengulas lanjut beliau berkata, hasil soal siasat kesemua suspek merupakan tokan kampung yang aktif mengedar bagi memenuhi pasaran di sekitar Malim dan Kandang sejak awal tahun ini.

“Ujian saringan air kencing dilakukan mendapati kesemua mereka positif dadah jenis morfin dan methamphetamine serta mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan dadah.

“Kesemua suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 24 Oktober ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B/39A(2)/15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI