BRUSSELS, BELGIUM – Sebuah bangkai kapal dari era Perang Dunia Kedua dilaporkan masih mengeluarkan bahan letupan dan unsur-unsur toksik lain ke dasar Laut Utara meskipun telah karam lebih 80 tahun lalu, lapor stesen penyiaran CNN kelmarin.
Laut Utara terletak bersempadan dengan Belgium, Norway, Denmark, Belanda, Britain dan Jerman.
Menurut satu kajian terbaharu yang diterbitkan dalam jurnal Frontiers in Marine Science, bahan pencemar berbahaya daripada bangkai kapal itu terus memberi kesan kepada mikrobiologi marin berdekatan dan geokimia dasar laut.
“Orang awam selalunya berminat dengan bangkai kapal kerana mempunyai nilai sejarah tetapi risiko kesannya kepada alam sekitar sering kali diabaikan,” kata pengarang kajian, Josefien Van Landuyt dari Universiti Ghent.
Bangkai kapal V-1302 John Mahn itu karam di Laut Utara bahagian Belgium. Ia adalah salah satu daripada beribu-ribu bangkai kapal dan pesawat yang karam di sepanjang dasar laut itu.
Ia pada awalnya digunakan sebagai kapal pukat nelayan Jeman sebelum diambil alih oleh tentera laut negara itu semasa Perang Dunia Kedua sebagai bot peronda.
Enam pesawat Hawker Hurricane milik Tentera Udara Diraja Britain yang meronda pantai Belgium dilaporkan menyerang kapal itu pada 12 Februari 1942 dan membedilnya menggunakan dua butir bom, menyebabkan ia tenggelam dengan pantas.
Serangan itu meragut nyawa 11 anak kapal dan menenggelamkan muatan kapal tersebut termasuk bahan letupan dan arang batu ke dasar laut.
Penyelidik menganggarkan bahawa di seluruh lautan dunia, bangkai kapal dari kedua-dua Perang Dunia mengandungi antara 2.5 juta hingga 20.4 juta tan metrik produk petroleum. – Agensi