MANCHESTER – Pengurus Manchester United, Erik ten Hag berharap pemain tengah, Christian Eriksen sempat pulih daripada masalah kesihatan menjelang aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Tottenham Hotspur di Old Trafford awal pagi esok.
Pengendali dari Belanda itu mengakui, The Red Devils merindui hantaran-hantaran kreatif Eriksen ketika mereka hanya mencatat keputusan seri tanpa jaringan menentang Newcastle United Ahad lalu.
Bekas pemain Spurs itu dianggap antara pemain kunci United musim ini apabila menyertai pasukan tersebut secara percuma pada jendela perpindahan musim panas selepas kontraknya bersama Brentford tamat.
“Kami memang memerlukan khidmat Eriksen kerana ketiadaannya membuatkan kami sukar untuk memecahkan benteng pertahanan lawan. Saya harap dia sempat cergas dan dapat bermain menentang Spurs.
“Bagaimanapun, United merupakan satu skuad yang bermain secara berpasukan, jadi saya fikir tidak ada masalah untuk pemain-pemain lain ambil tanggungjawab tersebut.
“Bagaimanapun, saya tetap harap dia dapat bermain,” katanya.
United juga mampu menarik nafas lega menjelang perlawanan itu memandangkan seorang lagi pemain tengah, Scott McTominay akan kembali berada dalam pasukan selepas selesai menjalani penggantungan satu perlawanan.
Juara Liga Perdana 13 kali itu pastinya mahu mengutip tiga mata ketika berdepan Spurs bagi mendapatkan suntikan semangat menjelang pertemuan dengan Chelsea yang dijadualkan berlangsung awal pagi Ahad nanti. – AGENSI