KETIKA manusia dalam suasana jahiliah, lahir seorang bayi pada tanggal 12 Rabiulawal pada tahun Gajah di Mekah yang membawa cahaya petunjuk dan rahmat.
Baginda ialah Nabi Muhammad SAW yang dilantik menjadi rasul pada usia 40 tahun.
Nabi Muhammad merupakan seorang manusia unggul dan suri teladan terbaik untuk umat sepanjang zaman.
Sejak kecil, baginda telah menunjukkan peribadi luhur dan sopan kepada umat Islam serta penganut agama lain.
Sifat-sifat wajib bagi Rasulullah termasuk siddiq (benar), amanah (jujur), fatonah (bijaksana). tabligh (menyampaikan) dan al-Amin (kejujuran).
Pemilihan baginda sebagai rasul adalah untuk menyampaikan risalah dan rahmat kepada seluruh umat manusia serta alam semesta.
Sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Al-Anbiya ayat 107 yang bermaksud: “Dan tiadalah kami mengutuskan kamu melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam.”
Sebagai umat akhir zaman, kita semua perlu meneladani tauladan Rasulullah dalam segenap urusan harian.
Misalnya dalam aspek pengurusan, tauladan Rasulullah dapat diterapkan di mana-mana, bila-bila dan sesiapa sahaja.
Seorang ahli ekonomi atau perniagaan boleh mencontohi Rasulullah dalam melahirkan ahli korporat dermawan seperti Abu Bakar, Uthman dan Abdurrahman bin Auf.
Kehebatan pengurusan Rasulullah juga dapat disaksikan dalam urusan rumah tangga.
Bayangkan 11 orang isteri baginda mampu menjadikan keluarganya sebagai sakinah mawaddah wa rahmah.
Sebagaimana surah Ar-Rum ayat 21 bermaksud:“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri- isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cemerlang dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang.
Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.”
Baginda juga menunjukkan sifat kemanusiaan yang hebat kerana Rasulullah adalah manusia biasa.
Bezanya Rasulullah menerima wahyu dan terlindung dari dosa dan kesalahan (ma’shum), sementara kita tidak.
Salah satu kisah tauladan kemanusiaan Rasulullah adalah sewaktu seorang nenek datang mohon agar dia dimasukkan ke syurga bersama Rasulullah.
Maka Nabi menjawab: “Wahai hamba Allah, sesungguhnya syurga tidak boleh dimasuki oleh orang tua.”
Kemudian, nenek tersebut terus berlalu pergi sambil menangis.
Rasulullah memanggil nenek itu kembali dan berkata:“Engkau tidak boleh masuk syurga dalam keadaan tua bangka, sebab Allah akan membangkitkan kembali para wanita tua dalam umur yang masih muda.
Sebagaimana firman Allah dalam surah Al-Waqi’ah ayat 35-37 yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami menciptakan mereka (bidadari-bidadari) secara langsung. Dan kami jadikan mereka gadis-gadis perawan. Penuh kasih sayang sebaya umurnya.”
Wanita tua itu akhirnya tertawa riang mendengar senda gurau Rasulullah.
Menurut riwayat wanita tua itu adalah ibu saudara Rasulullah yang bernama Safiyyah.
Dalam pelbagai siri peperangan, Rasulullah juga seperti manusia biasa.
Baginda menggunakan alat pelindung seperti dalam Perang Uhud, Rasulullah memakai dua baju besi sebagai perisai serta dilindungi oleh para sahabat.
Padahal baginda dijamin keselamatannya oleh Allah.
Dalam perang tersebut, Rasulullah menderita dan mengalami luka-luka.
Beberapa buah pecahan rantai besi mengenai wajah serta beberapa batang gigi Rasulullah patah dan topi baginda pecah.
Meskipun dijamin masuk syurga, Rasulullah tetap sibuk beribadah kepada Allah hingga bengkak kakinya.
Sehinggakan ketika Aisyah bertanya:“Bukankah engkau telah dijamin masuk syurga. Rasulullah menjawab:“Tidak bolehkah aku menjadi hamba yang bersyukur.”
Peribadi mulia Rasulullah sememangnya tiada tandingan dengan manusia lain di muka bumi ini.
Nabi dan rasul terakhir utusan Allah kepada umat akhir zaman itu seharusnya dijadikan suri teladan dan tokoh inspirasi bagi semua umat Islam dalam segenap aspek.
Walaupun Nabi Muhammad tidak pernah berjumpa dengan kita, namun baginda sering merindui umatnya temasuk golongan yang sering melakukan dosa.
Seiring peredaran zaman, sunnah Rasulullah semakin pudar dalam diri masyarakat pada hari ini.
Masyarakat moden kini lebih gemar mengejar kekayaan, fesyen dan kebahagiaan di dunia semata- mata, tanpa mempedulikan kebaikan dibawa oleh baginda.
Bahkan, terdapat segelintir individu yang mengamalkan sunnah baginda terlihat asing pada mata masyarakat dan sering menjadi bahan kecaman di dalam media sosial.
Hakikatnya, sebagai umat Islam, kita harus meneladani sifat universal dan kemanusiaan Rasulullah bagi menyelamatkan diri daripada terlibat dalam perlakuan melampaui batas.
Sifat tersebut juga perlu diajar kepada anak-anak supaya mereka lebih dekat dengan Nabi Muhammad.
Meneladani sifat baginda juga menjadi bukti cinta kita terhadap baginda agar dapat dibangkitkan bersama-samanya pada hari akhirat kelak.
Kesimpulannya, Nabi Muhammad memiliki sifat-sifat indah dalam diri baginda yang wajar dicontohi oleh semua umat Islam.
Kita juga perlu sentiasa belajar mengenali peribadi Rasulullah dengan mempelajari sirah baginda.