fbpx

PRU15: Tolak Bersatu untuk elak mudarat lebih besar – Ahmad Zahid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Zahid.

PETALING JAYA – Tindakan UMNO menolak kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) adalah untuk mengelakkan kemudaratan yang besar.

Menurut Presiden UMNO, Datuk Ahmad Zahid Hamidi, keputusan itu dibuat bukan bersifat individu, sebaliknya dicapai bersama oleh pimpinan dan akar umbi parti.

Ini kerana katanya, Bersatu ditubuhkan dengan matlamat untuk menamatkan UMNO dan Barisan Nasional dan apakah rasional UMNO diasak dan didesak supaya bersama musuh dalam selimut.

Beliau berkata, usaha memecahbelah bermula dengan kewujudan parti politik serpihan angkara krisis tamak kuasa bermula dengan PKR, disusuli kewujudan Bersatu, PAN dan Pejuang memangkin kepada perpecahan.

“Para pimpinannya malah pernah bersengkongkol dengan DAP yang mereka sendiri labelkan tidak selari dengan Melayu.

“Rela dipergunakan untuk memecahahbelahkan ummah demi memenuhi kehendak dan cita-cita peribadi,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook hari ini.

Mengulas lanjut, penyandang Ahli Parlimen Bagan Datuk menafikan parti itu sebagai memecahbelahkan ummah.

Jelas Ahmad Zahid, tohmahan itu sama sekali tidak benar sedangkan UMNO itu sendiri memayungi penyatuan ummah.

“Agenda itu malah terkandung rasmi dalam perlembagaannya demi agama, bangsa dan negara. Seterusnya diharmonikan dalam sebuah gagasan besar milik rakyat BN.

“UMNO, MCA, MIC, PBRS dan ‘Friends of BN’ bermuafakat dengan prinsip bangsa Malaysia saling menghormati. Inilah jua asas yang kukuh memupuk kestabilan dan kemakmuran Malaysia selama ini,” tegasnya.

Ujar beliau lagi, UMNO bersama BN membentuk sebuah gabungan rakyat berbilang bangsa, kaum dan agama.

“Tidak pernah memecahbelahkan kesatuan ummah, tidak pernah pernah jua merobek penyatuan bangsa Malaysia.

“Justeru, pada PRU-15 pengundi harus berani menilai erti kestabilan dan kemakmuran dalam menetapkan pilihan.

“Usah terkilaf membuat penentuan kerana penyatuan ummah dan rakyat Malaysia kini terletak di tangan anda,” kata Ahmad Zahid. – KOSMO ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI