fbpx

PRU15: Hasni yakin pengundi keluar buang undi, sokong parti pilihan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

JOHOR BAHRU – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad yakin pengundi akan keluar menjalankan tanggungjawab dan memilih parti politik yang menjadi pilihan mereka tanpa paksaan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Hasni yang juga merupakan Pengerusi UMNO Johor sehubungan itu memberitahu, pihaknya akan menawarkan manifesto yang menarik minat semua demografi pengundi, bukan sahaja penyokong parti.

“UMNO yakin rakyat akan melaksanakan tanggungjawab keluar mengundi untuk parti-parti politik yang mereka sukai. Untuk itu kita akan menawarkan manifesto yang mampu menarik sokongan semua jenis demografi pengundi dan bukan pengundi asas sahaja.

“Adalah satu yang biasa apabila Pakatan Harapan (PH) dan DAP membuat tuduhan kepada UMNO. Saya percaya, jika rakyat tidak mahu keluar dan mengundi mereka maka UMNO tidak dapat buat apa-apa. Itu juga adalah pilihan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Bekas Menteri Besar Johor itu membuat kenyataan tersebut sebagai membalas kenyataan Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong yang mendakwa UMNO dan BN mencipta naratif untuk menghalang masyarakat keluar mengundi dalam PRU15 akan datang.

Terdahulu, Chin Tong yang juga merupakan Ketua Pembangkang Johor mendakwa BN hanya akan menerima sokongan daripada pengundi tegar mereka dan bukan pengundi atas pagar.

“Sebab itu BN cipta naratif bahawa mengundi adalah membuang masa, tidak ada gunanya keluar mengundi dan tiada lagi harapan untuk Malaysia. Semua mesej negatif hanya bertujuan untuk menggalakkan orang ramai tidak mengundi.

“Mereka sedar sekiranya pengundi atas pagar yang berhasrat mengundi PH tidak keluar mengundi kerana terpengaruh dengan naratif kekecewaan, ia akan membuka peluang untuk BN menang besar walaupun peratusan keluar mengundi adalah rendah,” ujarnya.

Chin Tong turut mendakwa, penyokong UMNO dan BN hanya akan mengundi gabungan itu kerana terpedaya dengan tipu helah dan kempen dijalankan BN.

“Kini, PH hanya mempunyai masa kurang sebulan untuk kembali meyakinkan pengundi dan mengingatkan mereka betapa beraninya mereka kerana telah mencipta sejarah politik negara pada 2018,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI