SUNGAI SIPUT – Projek mendalamkan sungai, membina kolam takungan dan sistem perparitan di empat sungai di daerah ini dijangka dapat menyelesaikan risiko banjir kilat yang melanda kawasan perbandaran.
Projek dengan peruntukan sebanyak RM21 juta itu memfokuskan empat batang sungai di Mukim Sungai Siput iaitu Sungai Buloh, Sungai Nyamuk, Sungai Bemban dan Sungai Sintang.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri, Datuk Mohd. Zolkafly Harun berkata, projek hasil usaha sama kerajaan negeri dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perak itu telah bermula Ogos lalu dan dijangka siap pada 26 Februari 2024.
Katanya, projek berkenaan bakal memberi manfaat kepada lebih 10,000 penduduk di 10 taman perumahan yang berdepan risiko ditenggelami air ketika hujan lebat .
“Apabila siap sahaja projek ini, diharap walaupun hujan lebat, kejadian banjir dapat dikurangkan atau tiada langsung banjir berlaku di kawasan ini,” katanya ketika ditemui selepas lawatan kerja ke Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Perak Fasa 1 dan Projek Saliran Mesra Alam Daerah Sungai Siput di Taman Kledang di sini semalam.
Mengulas lanjut beliau berkata, projek tersebut memberi penekanan skop bagi kerja-kerja pembersihan kawasan, pengorekan, mendalamkan serta melebarkan sungai.
Bahkan, katanya, kerja-kerja menaiktaraf saliran, pembinaan ‘diversion channel’, pembinaan kolam dan pelan kawalan hakisan keladak turut dilaksanakan.
“Objektif projek ini adalah untuk meningkatkan sistem perparitan dalaman dan sungai-sungai dengan memfokuskan kepada empat batang sungai.
“Segala perancangan yang dilakukan ini adalah untuk memastikan kawasan perbandaran di Sungai Siput tidak ditenggelami air semasa musim hujan lebat,” katanya. – KOSMO! ONLINE