KOTA BHARU – Tiga lelaki dicekup selepas dipercayai terlibat dalam kegiatan pengedaran pelbagai jenis dadah bernilai RM124,750 dalam serbuan di tiga daerah semalam.
Dua suspek 22 dan 25 tahun ditahan di dua rumah di Pasir Mas dan Tumpat, manakala seorang lagi suspek berusia 41 tahun diberkas di tepi jalan di Tanah Merah.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, anggota Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) menjalankan serbuan pertama di Kampung Sakar, Tendong dekat Pasir Mas kira-kira pukul 7.31 pagi dan menahan suspek berusia 22 tahun.
Menurutnya, suspek yang cuba melarikan diri telah membuang plastik berwarna putih ke kawasan hutan berhampiran.
“Pemeriksaan di dalam plastik itu telah menjumpai sebanyak 4,000 biji pil kuda yang bernilai RM40,000. Siasatan lanjut di dalam rumah tersebut turut menemui wang 10,000 dolar Amerika Syarikat palsu.
“Kurang dari sejam kemudian, anggota PGA menjalankan serbuan di sebuah rumah di Kampung Tebing, Tumpat pada pukul 8.18 pagi sebelum menahan lelaki berusia 25 tahun,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, menurut Muhamad Zaki, pemeriksaan di dalam beg pinggang yang dipakai suspek telah menjumpai satu botol plastik berisi serbuk putih disyaki dadah jenis heroin, satu paket plastik mengandungi ganja, pil psikotropik dan pil kuda.
Katanya, anggota PGA terus menjalankan siasatan di kawasan garaj kereta dan menemui dua bungkus plastik disyaki ganja dan 20 botol plastik berisi serbuk putih disyaki dadah jenis heroin.
“Tangkapan suspek ketiga dijalankan di tepi jalan Felda Kemahang 2, Tanah Merah kira-kira pukul 3.38 petang dan merampas tiga plastik berisi dadah jenis pil kuda dan lima botol berisi dadah jenis heroin di dalam beg pinggang yang dibawa lelaki itu.
“Ujian saringan air kencing terhadap ketiga-tiga mendapati dua suspek berusia 41 tahun dan 25 tahun masing-masing positif dadah jenis morfin dan tetrahydrocannabinol (THC),” katanya.
Menurut Muhamad Zaki, polis tidak menolak kemungkinan ketiga-tiga suspek yang ditahan mempunyai rangkaian sindiket yang sama dan siasatan lanjut sedang dijalankan ketika ini.
Katanya, kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula semalam sehingga Selasa depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – KOSMO! ONLINE