TAIPING – Seorang penyelia di sebuah syarikat pinjaman wang berlesen telah ditahan oleh Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping pada pukul 9 malam Isnin lalu kerana disyaki mengedar dadah jenis ecstacy.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Razlam Ab. Hamid berkata, Bahagian Narkotik IPD Taiping telah berjaya menahan penyelia syarikat kewangan berusia 36 tahun itu di kondominium Crystal Creek di sini.
“Hasil pemeriksaan fizikal ke atas suspek, Bahagian Narkotik telah berjaya merampas satu beg galas berwarna hitam berisi 27 paket plastik berisi dadah ecstasy.
“Plastik hitam itu mengandungi pil ectacy dengan anggaran berat 1,060 gram, 20 foil aluminium mengandungi 200 biji pil eramin 5 (56 gram), dua paket plastik dadah jenis ketamin (51.25 gram) dan dua paket plastik berisi 23 biji pil ecstacy (8.89 gram),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Razlam, suspek telah berkahwin dan dipercayai bergiat aktif dalam pengedaran dadah sejak Ogos tahun ini di kawasan Taiping.
“Semakan rekod kesalahan lampau mendapati terdapat dua rekod iaitu berkaitan dadah dadah dan judi. Ujian saringan awal air kencing juga didapati positif dadah jenis Benzo,” katanya.
Katanya, polis juga turut menyita sebuah kereta jenis Honda Accord, dua bentuk cincin, seunit telefon bimbit jenama Huawei P30 dan wang tunai berjumlah RM700.
“Nilai rampasan dadah adalah sebanyak RM25,550 manakala nilai sitaan adalah sebanyak RM153,900,” katanya. – KOSMO! ONLINE