SUNGAI PETANI – Seorang pelajar perempuan melalui detik hitam apabila mendakwa menjadi mangsa cabul seorang petugas sebuah tokong dalam kejadian di Kawasan Perindustrian Pinang Tunggal di sini pada Sabtu lalu.
Mangsa berusia 13 tahun itu mendakwa kejadian berlaku ketika dia dan ibu bapanya hadir untuk melakukan upacara keagamaan di situ kira-kira pukul 2 petang.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian yang dibuat mangsa sendiri di Balai Polis Tikam Batu dekat sini, dua hari kemudian.
“Hasil siasatan mendapati petugas tokong berusia 55 tahun itu memaklumkan kepada ibu bapa mangsa untuk membawa anak mereka belajar ilmu keagamaan di tingkat satu tokong selepas mereka selesai sembahyang.
“Pengadu kemudian didakwa dibawa masuk ke dalam sebuah bilik oleh suspek dan dikatakan berlaku kejadian cabul itu,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, mangsa seterusnya keluar dari bilik itu dan pulang ke rumah bersama ibu bapanya pada pukul empat petang.
“Keluarga tersebut mengenali petugas tokong berkenaan kerana lelaki itu pernah mengubati ibu pelajar itu sebelum ini,” ujarnya.
Beliau berkata, mangsa bagaimanapun tidak pasti sama ada guru tokong itu merogolnya atau tidak kerana keadaan bilik yang gelap.
“Mangsa seterusnya dirujuk ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk pemeriksaan dan keputusan pakar Obstetrik & Ginekologi mendapati tiada kesan koyakan pada kemaluan mangsa.
“Mangsa kini dirujuk kepada pakar kaunseling D11 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah untuk membantunya daripada segi emosi,” jelasnya.
Tambahnya, suspek ditahan pada semalam dan direman selama tujuh hari untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017. – KOSMO! ONLINE