GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna menangani segera isu kekurangan bekalan minyak masak peket bersubsidi sempena sambutan perayaan Deepavali.
Pegawai Penyelidiknya, N. V. Subbarow berkata, pengguna terutama suri rumah berketurunan India mendakwa mereka sukar untuk mendapatkan minyak peket untuk persiapan membuat kuih raya Deepavali sejak beberapa minggu lalu.
Katanya, CAP menerima lebih 10 aduan pengguna di negeri ini mengenai kepayahan untuk membeli sekurang-kurangnya sebungkus minyak peket di pasaran ketika ini.
“Tinjauan CAP di premis sekitar daerah Barat Daya dan Timur Laut mendapati ramai peniaga memberitahu kami yang minyak masak peket telah habis sebaik sahaja dihantar pembekal pada hari Isnin.
“Mereka beritahu yang lazimnya bekalan itu akan habis dibeli pembeli kurang tempoh sehari atau hanya beberapa jam sahaja kedai beroperasi.
“Dakwa mereka, ini kerana permintaan tinggi dalam kalangan wanita India yang sibuk membuat persiapan Deepavali,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Katanya, kesukaran pembelian minyak masak peket bersubsidi lebih ketara berlaku pada Ahad atau hujung minggu.
Bagaimanapun Kosmo! difahamkan, urusan penghantaran bekalan minyak peket bersubsidi ke premis-premis peruncitan tidak berlaku pada hari Ahad memandangkan jatuh hari cuti atau rehat pekerja khususnya pembekal.