PETALING JAYA – Seorang lelaki ditahan polis selepas disyaki mencampak tiga ekor kucing dari tingkat 15 di sebuah apartment di Jalan PJS 8/9, di sini pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid berkata, suspek yang berusia 44 tahun itu ditahan selepas pihaknya menerima laporan kira-kira pukul 9.37 malam.
“Polis pergi ke lokasi tersebut dan berjaya menahan suspek lelaki tempatan yang juga penyewa di apartment tersebut.
“Pihak polis turut menemui tiga ekor kucing yang tidak bernyawa bersama suspek.
Menurutnya lagi, hasil siasatan awal mendapati suspek mengaku terlibat dengan membuang kucing-kucing tersebut dari kediamannya dari tingkat 15.
“Suspek akan ditahan reman dan kes disiasat di bawah Seksyen 428 Kanun Keseksaan kerana menganiaya dan khianat terhadap haiwan,” katanya. – KOSMO! ONLINE