IPOH – Kementerian Pendidikan disaran agar mewujudkan satu prosedur operasi standard (SOP) berkaitan pemeriksaan prasarana sekolah dan kelengkapan di bilik darjah.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, langkah keselamatan itu perlu diambil bagi mengelak insiden murid ditimpa kipas siling di sebuah sekolah rendah di Selama, berulang.
“Kita berharap pihak sekolah akan mengambil tindakan untuk sentiasa menjalankan pemeriksaan kelengkapan di bilik darjah bagi memastikan ia dalam keadaan baik.
“Dengan peristiwa ini, saya harap ada satu SOP oleh Kementerian Pendidikan, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan sekolah untuk adakan pemeriksaan berkala, sama ada setahun atau enam bulan sekali,” katanya ketika ditemui pada Sambutan Hari Inovasi peringkat negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.
Menurut beliau, pemeriksaan secara berkala bukan sahaja dapat menjamin persekitaran pembelajaran yang kondusif, malah selamat kepada pelajar.
“Kita faham, malang tidak berbau, tetapi kalau dapat dibuat pemeriksaan berkala, barangkali kita dapat mengesan (kelengkapan yang tidak elok),” katanya.
Dalam kejadian pada pukul 10 pagi semalam, seorang pelajar perempuan Tahun Dua patah jari tangan kiri dan cedera di bahagian dada selepas terkena kipas siling bilik darjah yang terjatuh.
Kejadian itu turut mengakibatkan tiga rakannya yang masing-masing berusia lapan tahun cedera ringan.
Difahamkan, keadaan kipas di dalam bilik darjah itu terlalu uzur, lama dan berkarat sekali gus tidak selamat digunakan lagi. – KOSMO! ONLINE