MACHANG – Sebuah kereta di dalam garaj terbakar sebelum meletup dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Damai, Kampung Padang Selising di sini hari ini.
Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 3.20 petang itu dipercayai berpunca daripada pembakaran kertas secara terbuka berhampiran kawasan rumah berkenaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Machang, Joharudin Hashim berkata, kejadian tersebut disedari oleh penghuni rumah itu selepas terdengar bunyi letupan dari arah garaj yang menjadi tempat letak kereta jenis Honda Accord miliknya sehingga mencetuskan api marak.
Menurutnya, bomba menerima panggilan kecemasan daripada mangsa kira-kira pukul 3.27 petang sebelum sebuah jentera bersama enam anggota bergegas ke lokasi kejadian.
“Anggota bomba mengambil masa hampir sejam untuk memadam kebakaran di kawasan rumah tersebut.
“Selain keseluruhan kereta terbakar, kejadian terbabit turut memusnahkan rumah mangsa hampir 10 peratus. Kesemua penghuni yang berada di dalam rumah itu selamat dalam kebakaran itu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi.
Menurut Joharudin Hashim, tindakan pantas anggota bomba berjaya menyelamat rumah tersebut daripada musnah.
Katanya, kereta yang musnah dalam kejadian itu dianggarkan bernilai RM10,000 dan kerugian keseluruhan yang dialami pemilik rumah tersebut masih belum dapat ditafsirkan.
Tambahnya, bagaimanapun, punca sebenar kebakaran itu masih dalam siasatan pihak bomba. – KOSMO! ONLINE